Monday, July 20, 2026

Dividen tertinggi TH berita gembira menjelang Aidilfitri – Anwar

Pencapaian itu mencerminkan hasil pembaharuan yang menekankan tatakelola, memperbetulkan asas institusi serta mengembalikan disiplin dan kebertanggungjawaban dalam pengurusan TH.

Mesti Baca

PENGUMUMAN dividen Lembaga Tabung Haji (TH) sebanyak 3.50 peratus iaitu prestasi terbaik dalam tempoh lapan tahun hadir sebagai khabar gembira buat umat Islam menjelang Aidilfitri, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata, pencapaian itu mencerminkan hasil pembaharuan yang menekankan tatakelola, memperbetulkan asas institusi serta mengembalikan disiplin dan kebertanggungjawaban dalam pengurusan TH.

“Pembaharuan ini juga adalah ikhtiar untuk kembali mengangkat dan memartabatkan TH selaras dengan semangat asal penubuhannya yang berteraskan pengurusan amanah dan tanggungjawab terhadap kepentingan umat Islam,” katanya hari ini.

TH hari ini mengumumkan agihan keuntungan selepas zakat sebanyak 3.50 peratus bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2025, berbanding 3.25 peratus yang direkodkan tahun sebelumnya, iaitu kadar tertinggi dalam tempoh lapan tahun ini.

Agihan itu membabitkan RM3.22 bilion yang memberi manfaat kepada lebih 9.7 juta pendeposit di seluruh negara.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan berkata, keputusan tahun 2025 adalah prestasi kewangan terbaik dalam tempoh lapan tahun, sekali gus membuktikan keberkesanan strategi pelaburan yang berdisiplin serta rangka kerja tadbir urus yang diperkukuh.

“Agihan keuntungan itu ditetapkan selepas mengambil kira zakat sebanyak 2.577 peratus berjumlah RM95.3 juta, bagi pihak pendeposit kepada Majlis Agama Islam Negeri-negeri,” katanya seperti dilapor media.

Sehubungan itu, Anwar berharap khabar baik tersebut menambah rasa syukur dan ketenangan dalam menyambut Aidilfitri, serta memperkukuh keyakinan umat terhadap usaha kita untuk terus memelihara institusi tersebut demi kepentingan bersama. — Edisi 9

Terkini

AMH desak menteri, timbalan menteri BN letak jawatan

SEMUA menteri dan timbalan menteri dari Barisan Nasional (BN) didesak meletakkan jawatan masing-masing susulan tindakan parti itu yang secara...

Lagi Artikel Berkaitan