LEMBAGA Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA) dan Kerajaan Negeri Terengganu mencapai kata sepakat berhubung status pemberimilikan ladang komersial melibatkan enam daerah di negeri itu hari ini.
FELDA dalam satu kenyataan berkata, kedua-dua pihak memeterai Perjanjian Penyelesaian bagi memperkemas status pemberimilikan ladang terbabit di Besut, Setiu, Dungun, Hulu Terengganu, Marang dan Kemaman.
“Langkah signifikan ini merupakan kesinambungan kepada sejarah panjang kerjasama yang bermula sejak tahun 1969, melalui Perjanjian-Perjanjian Ranchangan Kemajuan Tanah (Perjanjian Negeri Terengganu) yang berasaskan Akta Tanah (Kawasan Penempatan Berkelompok) 1960 [Akta 530],” kata kenyataan itu.
FELDA berkata, penyelesaian tersebut akan memberi hasil dan manfaat ekonomi kepada warga komuniti FELDA secara keseluruhannya bagi menyokong agenda pembangunan sosioekonomi serta kesejahteraan mereka.
“FELDA berterima kasih kepada Kerajaan Persekutuan yang bertindak sebagai pemudah cara utama.
“FELDA juga turut mengucapkan terima kasih kepada pihak Kerajaan Negeri Terengganu dan semua yang terlibat dalam memuktamadkan perjanjian ini,” katanya.
Kerajaan Negeri Terengganu diwakili oleh Setiausaha Kerajaan Terengganu Datuk Mohd Azmi Mohamad Daham manakal FELDA diwakili oleh Pengarah Besarnya, Datuk Dr Suzana Idayu Wati Osman.
Majlis menandatangani perjanjian disaksikan oleh Ketua Setiausaha Perbendaharaan Datuk Johan Mahmood Merican dan Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi Terengganu, Datuk Dr Azman Ibrahim.
FELDA berkata, kerjasama erat antara peringkat Persekutuan, Negeri, dan agensi itu telah menjadi pemacu utama kepada penyelesaian yang harmoni ini, sekali gus mencerminkan keberkesanan tadbir urus demi kepentingan rakyat.
Sementara itu, Azman Ibrahim berkata, selepas ini FELDA akan mengemukakan permohonan pemberimilikan tanah kepada Pihak Berkuasa Negeri dalam tempoh yang dipersetujui.
Jelas beliau, sebagai balasan, Kerajaan Negeri komited untuk memberikan kerjasama yang terbaik kepada pihak FELDA bagi melancarkan proses pemberian hak milik kesemua lot-lot tanah tersebut yang terdapat di enam daerah terbabit. — Edisi 9

