MELETUP! Tidak sampai 24 jam pendaftaran keahlian secara dalam talian dibuka, hampir 2,000 ahli baharu UMNO berjaya direkrut sehingga pukul 6 petang ini.
Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asraf Wajdi Dusuki yang turut terkejut dengan sambutan yang diterima, hanya selepas lapan jam pendaftaran menerusi pautan http://myumno.org itu dibuka untuk kali pertama dalam tempoh 80 tahun usia parti itu.
Paling mengejutkan, daripada 1,908 keahlian baharu yang diterima dalam tempoh tersebut, keahlian Pemuda UMNO mencatatkan jumlah tertinggi iaitu seramai 1,215 orang atau 64 peratus daripada keseluruhan ahli baharu yang mendaftar.
“Tahniah dan hebat! 1,908 ahli baharu UMNO telah saya luluskan setakat pukul 6 petang ini, setelah lapan jam Pendaftaran Keahlian Secara Atas Talian dibuka kali pertama.
“Keahlian Pemuda UMNO yang paling tinggi iaitu seramai 1,215 orang. Syabas pemuda!,” katanya menerusi hantaran dalam media sosialnya hari ini.
Berdasarkan maklumat yang dikongsi, UMNO turut menerima seramai 433 orang ahli biasa, 131 orang Puteri UMNO dan 128 lagi terdiri daripada Wanita UMNO.
Sebelum ini, Presiden Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mengajak orang ramai khususnya anak-anak muda untuk menyertai parti itu dengan mendaftar secara dalam talian yang mula dibuka hari ini.
Beliau memberi jaminan, proses pendaftaran keahlian parti secara dalam talian itu akan lebih mudah dan pantas serta tidak melalui proses birokrasi yang rumit.
“Saya mengajak lebih ramai, khususnya anak muda, untuk bersama UMNO bagi meneruskan legasi bangsa dan membina semula kekuatan parti ini menuju kegemilangan
“We want you. Kita mahukan anda. Kerana UMNO adalah milik kita semua. Marilah bersama-sama ke Rumah Bangsa. Dulu, Kini dan Selamanya,” katanya.
Majlis Kerja Tertinggi UMNO pada Jumaat meluluskan pindaan terhadap Peraturan Keahlian UMNO dengan membolehkan pendaftaran secara atas talian.
Pindaan Fasal 5.2 Perlembagaan UMNO itu bagi mempermudahkan kemasukan ahli baharu terutamanya di kalangan anak-anak muda. — Edisi 9

