SURUHANJAYA Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) mengesyorkan tindakan tatatertib diambil terhadap pegawai Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) susulan siasatan berhubung aduan melibatkan 47 klien di Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (PUSPEN) Serdang, Kedah yang disyaki positif dadah jenis methamphetamine.
EAIC dalam satu kenyataan berkata, siasatan telah dijalankan selaras dengan Subseksyen 27(4) Akta Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan 2009 [Akta 700].
Menurut suruhanjaya itu, hasil siasatan mendapati berlaku pelanggaran arahan berkaitan larangan membawa masuk bahan terlarang ke dalam premis PUSPEN yang dilakukan oleh pegawai ketika bertugas.
“EAIC memutuskan untuk merujuk hasil siasatan kepada Pihak Berkuasa Tatatertib AADK dengan syor supaya tindakan tatatertib dikenakan terhadap pegawai terlibat,” menurut kenyataan tersebut hari ini.
Jelas EAIC, syor hukuman dibuat di bawah Peraturan 38 Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993 [P.U.(A) 395/1993] atas kesalahan ingkar perintah atau berkelakuan dengan cara yang boleh ditafsirkan secara munasabah sebagai ingkar perintah sebagaimana diperuntukkan di bawah Peraturan 4(2)(i) peraturan sama.
Selain itu, EAIC turut mengesyorkan supaya laporan polis dibuat bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan berhubung kejadian berkenaan.
Dalam pada itu, suruhanjaya berkenaan turut mengemukakan beberapa cadangan penambahbaikan bagi mengelakkan insiden sama berulang.
Katanya, ini termasuk pindaan terhadap Perintah Tetap Ketua Pengarah, pemberian latihan kepada pegawai penyiasat serta pindaan terhadap Sasaran Kerja Utama supaya proses flushing dilaksanakan dengan lebih kerap.
EAIC juga menekankan keperluan kawal selia yang lebih ketat bagi memastikan tiada bahan terlarang dibawa masuk ke dalam PUSPEN pada masa hadapan.
Suruhanjaya itu menegaskan komitmennya untuk terus memastikan tahap integriti dan akauntabiliti agensi penguatkuasaan sentiasa terpelihara demi kepentingan awam. – Edisi 9

