Monday, July 20, 2026

Standard mandatori daftar SIM prabayar diperkenal – MCMC

Standard mandatori itu turut menetapkan beberapa langkah perlindungan berfokuskan pengguna, antaranya had pemilikan maksimum lima kad SIM bagi setiap individu...

Mesti Baca

SURUHANJAYA Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) hari ini mendaftarkan Penentuan Suruhanjaya mengenai Standard Mandatori Pendaftaran Pengguna Akhir Perkhidmatan Selular Awam Prabayar sebagai langkah tegas membanteras penipuan dalam talian dan penyalahgunaan identiti.

MCMC dalam kenyataannya berkata, penentuan itu dibuat selaras dengan peruntukan Seksyen 55 dan Seksyen 104(1)(b) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, bagi menutup ruang manipulasi pendaftaran kad SIM prabayar yang sering dieksploitasi oleh sindiket jenayah siber.

Menurut suruhanjaya itu, pengenalan standard mandatori berkenaan bukan sahaja bertujuan meningkatkan tahap keselamatan ekosistem komunikasi negara.

Malahan katanya, ia memberi perlindungan lebih menyeluruh kepada pengguna daripada penyalahgunaan identiti, penipuan serta penggunaan kad SIM tanpa kebenaran.

“Pada masa yang sama, pelaksanaannya mengambil kira keseimbangan antara keperluan keselamatan, kemudahan akses pengguna dan perlindungan data peribadi,” menurut MCMC dalam kenyataan hari ini.

Antara pembaharuan utama yang diperkenalkan termasuk penggunaan pengesahan biometrik dan MyDigital ID bagi pendaftaran kendiri, kewajipan penggunaan platform automatik yang selamat bagi mengelakkan pendaftaran palsu, serta kawalan lebih ketat terhadap pendaftaran bukan warganegara melalui pengesahan pasport berasaskan biometrik.

Standard mandatori itu turut menetapkan beberapa langkah perlindungan berfokuskan pengguna, antaranya had pemilikan maksimum lima kad SIM bagi setiap individu warganegara atau pemastautin bagi setiap penyedia perkhidmatan, manakala bukan warganegara dihadkan kepada dua kad SIM.

Selain itu, pendaftaran kanak-kanak di bawah umur 12 tahun adalah dilarang, manakala bagi golongan berumur 12 hingga 17 tahun, pendaftaran hanya boleh dilakukan oleh ibu bapa atau penjaga dengan persetujuan direkodkan. 

Pengguna juga perlu dimaklumkan status pendaftaran dalam tempoh 12 jam, manakala kad SIM pelancong dihadkan kepada tempoh penggunaan maksimum tiga bulan sebelum ditamatkan secara automatik.

MCMC mengingatkan semua penyedia perkhidmatan dan pengedar yang dilantik supaya memastikan pelaksanaan standard mandatori itu dibuat sepenuhnya dan mengikut garis masa ditetapkan.

“Tindakan pengawalseliaan akan diambil terhadap mana-mana pihak yang gagal mematuhi ketetapan ini demi menjamin ekosistem komunikasi yang lebih selamat dan terjamin,” tegas MCMC.

Suruhanjaya turut menasihatkan orang ramai agar mendaftar kad SIM prabayar hanya melalui penyedia perkhidmatan berlesen serta pengedar yang dibenarkan, selain sentiasa berwaspada terhadap saluran pendaftaran yang tidak sah. — Edisi 9

Terkini

AMH desak menteri, timbalan menteri BN letak jawatan

SEMUA menteri dan timbalan menteri dari Barisan Nasional (BN) didesak meletakkan jawatan masing-masing susulan tindakan parti itu yang secara...

Lagi Artikel Berkaitan