AGENSI Antidadah Kebangsaan (AADK) tidak sama sekali akan berkompromi mahu pun melindungi mana-mana kakitangannya yang terlibat dalam salah laku dan pelanggaran integriti yang boleh menjejaskan reputasi agensi serta perkhidmatan awam.
Sehubungan itu Ketua Pengarahnya, Datuk Ruslin Jusoh berkata, pihaknya memandang serius berhubung tangkapan dua kakitangan agensi itu di Terengganu oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Kedua mereka ditahan bagi membantu siasatan setelah disyaki meminta dan menerima rasuah sebagai balasan membawa masuk barang terlarang untuk penghuni pusat pemulihan.
“AADK akan memberikan kerjasama sepenuhnya dan akses kepada segala maklumat yang diperlukan oleh pihak SPRM bagi memastikan siasatan dapat diselesaikan dengan telus, adil, dan menyeluruh,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Media hari ini melaporkan SPRM Terengganu mereman seorang penjawat awam wanita di sebuah pusat pemulihan dadah di negeri ini kerana disyaki meminta dan menerima rasuah kira-kira RM6,000 sebagai balasan membawa masuk barang terlarang untuk penghuni pusat tersebut.
Perintah reman enam hari hingga 7 Mac ini terhadap suspek dikeluarkan Majistret Iffah Nabihah Mohd Ishak di Mahkamah Majistret Kuala Terengganu selepas menerima permohonan daripada SPRM.m
Menurut sumber, wanita berusia lingkungan 30-an itu ditahan bersama seorang lagi suspek lelaki yang juga penjawat awam dan bekerja di tempat yang sama kira-kira 12.30 tengah hari Ahad ketika hadir memberi keterangan di pejabat SPRM Terengganu.
Bagaimanapun, suspek lelaki yang berusia lewat 40-an telah dilepaskan dengan jaminan SPRM pada Isnin atas faktor kesihatan.
Siasatan awal mendapati kedua-dua suspek melakukan perbuatan tersebut secara berasingan antara September 2024 hingga Januari 2025 dengan meminta dan menerima wang rasuah daripada keluarga penghuni pusat pemulihan tersebut.
Ruslin berkata, selari dengan prinsip tadbir urus yang baik, AADK juga akan mengambil tindakan dalaman yang sewajarnya berdasarkan Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993, bergantung kepada perkembangan hasil siasatan rasmi.
Pada masa sama jelas beliau, AADK akan membuat penilaian serta menambah baik keberkesanan Prosedur Operasi Standard (SOP) di fasiliti AADK bagi menutup sebarang ruang yang boleh dimanipulasi oleh mana-mana pihak pada masa hadapan.
“AADK bertekad sepenuhnya untuk membanteras sebarang bentuk salah laku dan rasuah dalam kalangan warga kerja secara menyeluruh.
“Tindakan paling tegas dan agresif akan diambil terhadap mana-mana kakitangan yang terbukti terlibat dalam kes pelanggaran integriti dan berdepan tindakan perundangan serta boleh dibuang kerja sekiranya didapati bersalah,” katanya. — Edisi 9

