KERAJAAN gagal membuat pindaan Rang Undang-undang (RUU) Perlembagaan bagi mengehadkan tempoh maksimum 10 tahun bagi jawatan Perdana Menteri apabila tidak mendapat sokongan dua pertiga ahli Parlimen di Dewan Rakyat hari ini.
Ketika mengumumkan keputusan itu, Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul berkata, hanya 146 ahli Parlimen menyokong RUU tersebut manakala 44 ahli Parlimen tidak mengundi atau berkecuali dan 32 ahli Parlimen tidak hadir selepas undian secara blok dilakukan sejurus selesai dibahaskan oleh 41 ahli Parlimen kerajaan serta pembangkang.
Sebarang kelulusan RUU pindaan Perlembagaan Persekutuan memerlukan sekurang-kurangnya 148 sokongan ahli Parlimen.
Ia sekali gus menyaksikan RUU yang pertama kali dibentang membabitkan pindaan kepada Perkara 43(2)(a) Perlembagaan Persekutuan gagal dibawa untuk bacaan kali ketiga dan kemudiannya diluluskan.
RUU berkenaan dibentang bagi bacaan kali pertama pada minggu lalu oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said dan bacaan kali kedua pula dibuat Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini diikuti sesi perbahasan oleh ahli Parlimen. – Edisi 9

