BERITA gembira untuk pengguna diesel.
Kerajaan hari ini mengambil langkah segera dengan menambah baik bantuan diesel secara bersasar bagi meringankan beban rakyat susulan tekanan berterusan dalam pasaran tenaga global.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kerajaan memahami kesan langsung kenaikan harga bahan api terhadap kos sara hidup serta rantaian bekalan, khususnya dalam sektor pertanian dan pengeluaran makanan.
Menurut beliau, keutamaan kerajaan ketika ini adalah memastikan keterjaminan bekalan barangan asas untuk rakyat terus terpelihara meskipun berdepan kenaikan mendadak harga minyak dunia.
“Keutamaan Kerajaan MADANI adalah jelas (iaitu) memastikan keterjaminan bekalan barangan asas untuk rakyat, ekoran kenaikan harga minyak mendadak dan gangguan rantaian bekalan dunia.
“Langkah yang diumumkan hari ini melibatkan perbelanjaan tambahan, antaranya untuk membantu pengeluar makanan, demi kelangsungan bekalan makanan untuk rakyat,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sehubungan itu, Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, kerajaan bersetuju menaikkan Insentif Pembajakan kepada Pesawah (IPKP) bagi musim penanaman 2026 daripada RM160 kepada RM300 sehektar, melibatkan tambahan peruntukan kira-kira RM40 juta.
Beliau berkata, langkah tersebut dijangka memberi manfaat kepada hampir 200,000 pesawah di seluruh negara yang bakal memulakan musim penanaman dalam masa terdekat.
Selain itu, bantuan tunai di bawah inisiatif BUDI Agri-Komoditi dan BUDI Diesel Individu turut ditingkatkan daripada RM300 kepada RM400 sebulan bagi April 2026.
Katanya, pembayaran bantuan berkenaan dijadualkan disalurkan pada 21 April ini, dengan masing-masing dijangka memanfaatkan lebih 200,000 petani dan pekebun kecil serta kira-kira 150,000 pemilik kenderaan diesel individu di Semenanjung Malaysia.
“Dengan dana tambahan sekitar RM15 juta sebulan Kementerian Kewangan (MOF) dijangka menanggung subsidi sekitar RM7 bilion untuk April 2026, termasuk dana tambahan RM75 juta, untuk ketiga-tiga ikhtiar bantuan diesel,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata, kerajaan juga bersetuju melonggarkan syarat pembelian diesel bagi kegunaan selain kenderaan, termasuk membenarkan pembelian melebihi 20 liter dengan hanya mengemukakan pendaftaran jentera.
Mengulas lanjut, Anwar berkata, kerajaan akan terus memantau perkembangan krisis tenaga global melalui Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) dan bersedia mengambil langkah sewajarnya bagi memastikan kestabilan ekonomi negara serta kebajikan rakyat terus terpelihara. — Edisi 9

