KEMENTERIAN Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) melancarkan operasi penguatkuasaan bersepadu bagi membanteras aktiviti pelancongan tidak berlesen serta penyalahgunaan lesen ejen pelancongan di beberapa lokasi tumpuan di Sabah, baru-baru ini.
Operasi yang berlangsung pada 9 dan 10 April itu dilaksanakan dengan kerjasama strategik Polis Diraja Malaysia (PDRM), Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan Eastern Sabah Security Command (ESSCOM), melibatkan kawasan sekitar Kota Kinabalu, Tawau dan Semporna.
Menurut MOTAC, operasi bersasar itu adalah hasil risikan selama beberapa bulan, dengan fokus terhadap kesalahan di bawah Akta Industri Pelancongan 1992, Akta Cukai Pendapatan 1967 serta peruntukan undang-undang berkaitan.
“Antara kesalahan tersebut termasuklah beroperasi tanpa lesen yang sah, gagal mematuhi syarat lesen ditetapkan, berurus niaga dengan pihak yang tidak berlesen, menjadi proksi kepada entiti asing yang disyaki dan gagal mengisytihar atau membuat pengisytiharan palsu cukai pendapatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
MOTAC berkata, sepanjang operasi tersebut, sebanyak 13 premis perniagaan dan 11 individu telah diperiksa manakala tujuh notis pemeriksaan dikeluarkan atas pelbagai kesalahan, termasuk dua kes menjalankan perniagaan tanpa lesen sah serta dua kes berurus niaga dengan entiti tidak berlesen.
MOTAC berkata, siasatan lanjut sedang dijalankan sebelum tindakan undang-undang diambil terhadap pihak terlibat, termasuk pemilik premis dan individu berkaitan.
Dalam masa sama, kementerian itu memberi amaran tegas kepada mana-mana pihak agar tidak menyediakan perkhidmatan pelancongan tanpa lesen, sama ada melibatkan pengangkutan, penginapan atau penganjuran aktiviti, termasuk melalui platform dalam talian dan media sosial.
“Jika disabitkan kesalahan, pihak terlibat boleh dikenakan denda maksimum RM500,000 atau penjara sehingga 10 tahun atau kedua-duanya di bawah Akta 482,” tegas MOTAC.
MOTAC turut mengingatkan penggiat industri pelancongan berlesen supaya tidak berurusan dengan pihak tidak sah atau menggunakan kenderaan yang tidak dilesenkan untuk tujuan pelancongan.
Menurut kementerian itu, penguatkuasaan akan terus diperkasakan melalui kerjasama rentas agensi selaras dengan prinsip tadbir urus baik di bawah kerangka Malaysia MADANI. — Edisi 9

