Tuesday, July 21, 2026

MOTAC tarik balik sokongan, senarai hitam Srikandi Wawasan

Ekoran insiden melibatkan 61 pelajar sekolah dari Malaysia terkandas selama tiga jam di Lapangan Terbang Soekarno-Hatta, Jakarta di bawah pengurusan syarikat berkenaan.

Mesti Baca

KEMENTERIAN Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) menarik balik surat sokongan serta menyenarai hitam penganjur program Temasya Kesenian dan Kebudayaan Asia Tenggara, Srikandi Wawasan Enterprise kerana melakukan beberapa pelanggaran serius.

Menurut MOTAC, surat sokongan itu sebelum ini dikeluarkan bagi membolehkan penaja program layak menerima potongan cukai di bawah perenggan 34(6)(k) Akta Cukai Pendapatan sebagai insentif untuk menyokong penganjuran program seni, budaya atau warisan.

Bagaimanapun, tegas MOTAC, tindakan tegas itu diambil setelah siasatan terperinci berhubung insiden yang tular pada 24 Oktober lalu melibatkan 61 pelajar sekolah dari Malaysia terkandas selama tiga jam di Lapangan Terbang Soekarno-Hatta, Jakarta, Indonesia di bawah pengurusan syarikat berkenaan.

“Siasatan mendapati penganjur telah menukar tujuan asal program seperti yang dinyatakan dalam surat sokongan tersebut iaitu daripada persembahan kebudayaan kepada lawatan pelancongan tanpa memaklumkan MOTAC.

“Mereka juga gagal menyediakan penginapan, pengangkutan, makanan dan minuman serta jadual perjalanan yang jelas sehingga peserta terkandas tanpa bantuan sewajarnya menyebabkan pihak Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta terpaksa campur tangan,” kata MOTAC dalam kenyataan hari ini.

MOTAC berkata, tindakan tersebut menunjukkan kecuaian serius pihak syarikat dan telah melanggar SOP keselamatan serta garis panduan pengurusan program di luar negara.

Tegasnya, penganjur turut mengeluarkan dakwaan mengelirukan dengan menyatakan bahawa penari MOTAC terlibat dalam program tersebut sedangkan mereka merupakan penari bebas.

“Perbuatan ini menimbulkan salah tanggapan kepada peserta dan penaja serta bercanggah dengan prinsip integriti, ketelusan dan amanah dalam pentadbiran awam.

“Liputan media di Malaysia dan Indonesia telah mengaitkan MOTAC secara tidak langsung dengan program itu,” katanya.

Tegasnya, kegagalan penganjur menjaga reputasi kementerian telah menjejaskan kredibiliti MOTAC sebagai institusi kerajaan yang profesional dan bertanggungjawab.

Katanya, MOTAC sentiasa mengalu-alukan kerjasama syarikat mahupun NGO dalam memperkasa seni, budaya dan warisan negara namun tindakan ke atas syarikat serta pemiliknya selaras dengan komitmen MOTAC memastikan integriti, ketelusan dan akauntabiliti dalam semua roses yang melibatkan sokongan dan insentif di bawah kementerian.

Sehubungan itu, MOTAC melarang mana-mana pihak menggunakan atau merujuk surat sokongan tersebut bagi apa-apa urusan selepas tarikh kenyataan ini.

“MOTAC tidak akan bertanggungjawab terhadap sebarang implikasi yang timbul daripada penggunaan dokumen yang terbatal.

“MOTAC komited untuk memantau dan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang melanggar garis panduan, syarat atau prosedur yang ditetapkan MOTAC agar tidak menjejaskan imej dan reputasi kementerian.

“Orang ramai digalakkan menyemak dengan MOTAC bagi program atau acara seumpama ini bagi mengelakkan insiden seperti ini tidak berlaku,” katanya. – Edisi 9

Terkini

Hormati perjanjian pembentukan Kerajaan Perpaduan sehingga PRU-16

SEMUA pihak diminta agar menghormati perjanjian pembentukan Kerajaan Perpaduan peringkat Persekutuan antara Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH)...

Lagi Artikel Berkaitan