SURUHANJAYA Pilihan Raya (SPR) akan mengadakan mesyuarat khas pada 16 Disember ini bagi membincangkan isu kekosongan luar jangka bagi Parlimen Kinabatangan dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Lamag di Sabah.
Setiausaha SPR, Datuk Khairul Shahril Idrus berkata, mesyuarat khas itu akan dipengerusikan oleh Pengerusi SPR, Datuk Seri Ramlan Harun bagi menentukan tarikh-tarikh penting Pilihan Raya Kecil (PRK) kedua-dua kerusi tersebut.
Beliau berkata, antara perkara yang akan dibincangkan ialah tarikh writ pilihan raya, hari penamaan calon, hari pengundian, daftar yang akan digunakan serta persiapan-persiapan lain bagi melaksanakan pilihan raya tersebut.
Sebelum itu, SPR telah menerima pemakluman rasmi daripada Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Dr. Johari Abdul semalam berhubung kekosongan kerusi P.187 Parlimen Kinabatangan.
Manakala, hari ini pula SPR menerima pemakluman kekosongan luar jangka kerusi N.58 Lamag daripada Speaker DUN Sabah, Datuk Seri Kadzim M. Yahya.
Kedua-dua kerusi tersebut kosong berikutan kematian penyandangnya, Allahyarham Datuk Seri Bung Moktar Radin pada Jumaat lalu.
“Selaras dengan Perkara 54 Fasal (1) Perlembagaan Persekutuan dan Perkara 21 (5) Perlembagaan Negeri Sabah yang memperuntukkan bahawa kekosongan luar jangka kerusi Parlimen P.187 Kinabatangan dan Dewan Undangan N.58 Lamag, Sabah, hendaklah diisi
dalam tempoh 60 hari dari tarikh kekosongan dipastikan
SPR,”katanya dalam kenyataan hari ini.
Dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) lalu, Allahyarham Bung Moktar menewaskan Mazliwati Abdul Malek dari parti Warisan dengan majoriti 4,330 undi.
Bung Moktar dari Barisan Nasional (BN) memperoleh 16,842 undi sementara Mazliwati mendapat 12,512 undi.
Sementara dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah Ke-17 pada 29 November lalu, Allahyarham berdepan dengan persaingan enam penjuru dan menang dengan majoriti 153 undi.
Bagaimanapun, kemenangan itu hanya sempat dirai kurang seminggu apabila Allahyarham dilapor rebah dan dikejarkan ke hospital di Kota Kinabalu sebelum menghembus nafas terakhir pada 1.46 pagi, 5 Disember. – Edisi

