PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar menumpang gembira dengan kejayaan Barisan Nasional (BN) mempertahankan kerusi Parlimen Kinabatangan dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Lamag dalam pilihan raya kecil (PRK) kedua-dua kerusi tersebut semalam.
Anwar yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) berkata, keputusan tersebut mencerminkan keyakinan rakyat yang berterusan terhadap usaha, khidmat dan komitmen yang telah dipertunjukkan di peringkat akar umbi.
“Kemenangan ini wajar ditanggapi dengan sikap tanggungjawab sebagai amanah rakyat yang menuntut kepemimpinan yang berintegriti serta tahap khidmat yang berkesan serta keupayaan menyantuni keperluan masyarakat secara inklusif dan berterusan.
“Kerajaan Madani akan terus menjunjung semangat muafakat dan kebersamaan demi memastikan pembangunan di Sabah dapat dimantapkan, kesejahteraan rakyat terus dipelihara dan agenda yang madani dapat dijelmakan dengan tekad secara bersama,” katanya menerusi media sosial beliau hari ini.
Dalam PRK Parlimen Kinabatangan semalam, Mohd Naim Kurniawan Moktar berjaya mempertahankan kerusi yang disandang oleh bapanya sebelum ini, Allahyarham Bung Moktar Radin dengan majoriti 14,214 undi dalam pertembungan tiga penjuru.
Mohd Naim memperoleh 19,852 undi menewaskan Datuk Saddi Abdu Rahman (Warisan) yang mendapat 5,638 undi dan calon Bebas, Goldam H. Salangah (946).
Manakala bagi PRK DUN Lamag pula, Mohd Ismail Ayub menang dengan majoriti 5,681 undi menewaskan lawan dari parti Warisan, Mazliwati Abdul Malek.
Mohd Ismail atau lebih dikenali sebagai MIHA mendapat 7,269 undi manakala Mazliwati pula menerima 1,588 undi.
Anwar turut mendoakan agar legasi khidmat dan kepimpinan Bung Moktar dapat diteruskan dengan sebaiknya oleh kedua-dua wakil rakyat yang baharu itu.
PRK Kinabatangan dan Lamag diadakan susulan kematian Allahyarham Bung Moktar pada 5 Disember tahun lalu, beberapa selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah Ke-17. – Edisi 9

