Sunday, July 19, 2026

KBS jawab isu kelewatan naik taraf stadium hoki di Seremban 2

Projek tersebut mengalami sedikit kelewatan berikutan keperluan melalui beberapa proses penyelarasan melibatkan pelbagai pihak berkepentingan.

Mesti Baca

KEMENTERIAN Belia dan Sukan (KBS) hari ini menjawab isu berhubung kelewatan pelaksanaan projek naik taraf Stadium Hoki Tan Sri Dato’ Haji Mohd Said, Seremban 2, Negeri Sembilan sepertimana dilaporkan oleh sebuah akhbar berbahasa Inggeris sebelum ini.

Menurut kenyataan KBS, projek naik taraf berkenaan telah ditender pada 24 Disember lalu dan iklan tender tersebut dijangka ditutup pada 12 Februari ini manakala kerja-kerja pembinaan dijangka bermula pada Mei ini namun tertakluk kepada proses penilaian dan pelantikan kontraktor.

KBS berkata, projek tersebut mengalami sedikit kelewatan berikutan keperluan melalui beberapa proses penyelarasan melibatkan pelbagai pihak berkepentingan.

“Antara proses yang perlu diselesaikan ialah kerja-kerja ukur tanah, pindaan spesifikasi, serta pemuktamadan reka bentuk konsep, yang memerlukan pengesahan pihak pelanggan sebelum tender dapat dilaksanakan.

“Semua perkara ini juga perlu selaras dengan siling bajet yang telah diluluskan,” kata kenyataan itu malam tadi.

KBS berkata, projek tersebut akan dilaksanakan oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) selaku agensi pelaksana, dan KBS sentiasa memantau perkembangan projek bagi memastikan pelaksanaannya berjalan lancar serta mematuhi garis masa yang telah ditetapkan.

Sehubungan itu, kementerian itu berharap apabila projek tersebut siap ia akan memanfaatkan rakyat khususnya di Negeri Sembilan dan akan memangkinkan pembangunan sukan khususnya hoki.

“KBS kekal komited dalam merakyatkan dan membudayakan sukan selari dengan aspirasi Madani ke arah pembentukan negara yang sihat,” katanya. – Edisi 9

Terkini

AMH desak menteri, timbalan menteri BN letak jawatan

SEMUA menteri dan timbalan menteri dari Barisan Nasional (BN) didesak meletakkan jawatan masing-masing susulan tindakan parti itu yang secara...

Lagi Artikel Berkaitan