MALAYSIA sah menolak tawaran Persekutuan Sukan Komanwel (CGF) untuk menjadi penganjur temasya Sukan Komanwel 2026, kata Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh.
Hannah berkata, keputusan itu dibuat oleh Jemaah Menteri dalam mesyuarat Kabinet yang berlangsung hari ini.
Beliau berkata, mesyuarat Kabinet telah mengambil keputusan tersebut setelah meneliti semua aspek penganjuran dan implikasi.
“Geran penajaan oleh CGF berjumlah 100 juta pound (RM603 juta) dijangka tidak mampu menampung kos keseluruhan penganjuran temasya berskala besar,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Hannah berkata, selain itu, impak ekonomi daripada penganjuran temasya itu juga tidak dapat dikenal pasti dalam jangka masa singkat.
Namun, katanya, pada ketika ini kerajaan mahu memberi fokus kepada pembangunan sukan serta kebajikan dan kesejahteraan rakyat.
Victoria, Australia, yang sepatutnya menjadi tuan rumah edisi ke-23 itu menarik diri pada Julai tahun lalu kerana peningkatan kos penganjuran daripada jangkaan awal AUD2.6 bilion (RM8.09 bilion) kepada AUD7 bilion (RM21.78 bilion).
CGF kemudian menawarkan Malaysia menjadi tuan rumah, bersama dana RM602 juta, namun kos penganjuran dijangka mampu mencecah RM5 bilion hingga RM10 bilion.
Kuala Lumpur pernah menganjurkan temasya berkenaan pada 1998. – Edisi 9