Monday, July 20, 2026

Malaysia tuan rumah Sukan SEA, 4 bandar mandi cahaya

Pencahayaan khas itu diadakan bersempena upacara penyerahan bendera Persekutuan Sukan SEA (SEAGF) di Bangkok.

Mesti Baca

SEBANYAK 10 bangunan ikonik di empat negeri akan disinari cahaya Jalur Gemilang bermula pukul 7 malam esok sebagai simbolik sambutan Malaysia selaku tuan rumah Sukan SEA Ke-34 pada 2027, menurut Kementerian Belia dan Sukan (KBS).

KBS dalam satu kenyataan memaklumkan, pencahayaan khas itu diadakan bersempena upacara penyerahan bendera Persekutuan Sukan SEA (SEAGF) yang akan berlangsung semasa upacara penutup Sukan SEA Thailand 2025 di Stadium Rajamangala, Bangkok.

Menurut kenyataan sama, majlis berkenaan akan menyaksikan Menteri Belia dan Sukan, Dr. Mohammed Taufiq Johari bersama Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Tan Sri Dr. Norza Zakaria menerima bendera SEAGF sebagai simbolik penggiliran rasmi Malaysia sebagai tuan rumah temasya sukan terbesar di rantau Asia Tenggara itu.

“Sebagai tanda keterujaan dan komitmen penganjuran, 10 bangunan ikonik di Kuala Lumpur, Kuching, Johor Baharu dan Pulau Pinang akan diwarnai pancaran lampu merah, kuning, biru dan putih melambangkan Jalur Gemilang,” menurut KBS hari ini.

Antara bangunan yang terlibat ialah Menara Berkembar Petronas, Menara Kuala Lumpur, Menara DBKL, KOMTAR, Pusat Konvensyen Waterfront Pulau Pinang (PWCC), Jambatan Sultan Abdul Halim, Jambatan Satok, Bangunan Dewan Bandaraya Kuching Utara, Darul Hana Musical Fountain Kuching serta kawasan sekitar Iskandar Puteri, Johor.

KBS turut memaklumkan Stadium Nasional Bukit Jalil, sebagai salah satu mercu tanda sukan negara, akan turut disinari pencahayaan khas bagi menandakan peranan pentingnya dalam penganjuran Sukan SEA Malaysia 2027.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Sekretariat Jawatankuasa Penganjur Sukan SEA Malaysia (MASOC), Abdul Rashid Yaakub dipetik berkata, komitmen yang ditunjukkan oleh keempat-empat negeri penganjur mencerminkan kesiapsiagaan serta semangat tinggi dalam menjayakan Sukan SEA edisi ke-34.

“Pencahayaan bangunan dengan warna Jalur Gemilang ini merupakan simbolik sambutan Malaysia sebagai tuan rumah Sukan SEA buat kali ketujuh. Ia juga diharap dapat menyemarakkan semangat dan keterujaan rakyat menjelang penganjuran temasya tersebut,” katanya.

Menurut KBS, selain pencahayaan bangunan, paparan grafik khas turut akan disiarkan menerusi skrin LED di lokasi strategik di empat bandar raya berkenaan bagi menandakan penggiliran Malaysia sebagai tuan rumah seterusnya.

Pada upacara penutup Sukan SEA Thailand 2025, Malaysia juga akan terlibat dengan persembahan penutup yang menampilkan tiga artis tempatan iaitu Mimi Fly, Amir Jahari dan Marsha Milan, diiringi 60 penari daripada pelbagai etnik, sebagai gambaran kepelbagaian budaya dan perpaduan negara.

Sebelum itu, bekas Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh telah menyerahkan tanggungjawab sebagai Pengerusi Jawatankuasa Penganjuran Sukan SEA Malaysia (MASOC) kepada Dr Taufiq hari ini.

Hannah yang kini menggalas tugas sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) susulan rombakan Kabinet Isnin lalu berkata, kini tugas menerima bendera Persekuan Sukan SEA daripada Thailand esok akan diteruskan oleh Menteri Belia dan Sukan yang baharu.

“Menteri KBS yang baharu juga telah melawat bilik sekretariat kontinjen SEA Games dan kita menunggu keputusan pingat penuh kontinjen Malaysia esok.

“Saya telah memastikan peralihan ini berjalan dengan teratur dan semoga keputusan pingat esok menyenangkan semua rakyat Malaysia,” katanya.

Sehubungan itu, beliau mendoakan agar proses penganjuran Sukan SEA 2027 yang akan diambil alih oleh Malaysia esok berjalan dengan lancar di bawah pimpinan Menteri Belia dan Sukan yang baharu. — Edisi 9

Terkini

Hormati perjanjian pembentukan Kerajaan Perpaduan sehingga PRU-16

SEMUA pihak diminta agar menghormati perjanjian pembentukan Kerajaan Perpaduan peringkat Persekutuan antara Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH)...

Lagi Artikel Berkaitan