PERSATUAN Bolasepak Malaysia (FAM) diminta tidak berdiam diri sebaliknya menjawab secara jelas dan terang tentang pendedahan yang dibuat Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) berhubung kedudukan tujuh pemain warisan negara.
Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh berkata, FAM juga perlu melengkapkan proses rayuan dan mengumumkan hasrat untuk merayu serta memfailkannya.
“Saya telah membaca Alasan Penghakiman FIFA. FAM perlu melengkapkan proses rayuan – mengumumkan hasrat untuk merayu dan memfailkannya.
“FAM tidak boleh berdiam diri dan mesti menjawab secara jelas tentang segala pendedahan yang dibuat oleh FIFA,”katanya menerusi media sosialnya hari ini.
Hari ini FIFA mengemukakan Alasan Penghakiman berhubung hukuman yang dikenakan ke atas FAM dan tujuh pemain warisan negara berkaitan kes pemalsuan dokumen.
Tujuh pemain terbabit ialah Gabriel Palmero, Facundo Garces, Rodrigo Holgado, Imanol Machuca, Joao Figueiredo, Jon Irazabal dan Hector Alejandro Hevel.
FIFA berkata, berdasarkan laporan siasatan, ketujuh-tujuh pemain terbabit tidak mempunyai pertalian darah sama sekali dengan Malaysia, sepertimana dokumen yang diserahkan oleh FAM kepada badan induk dunia itu.
Hannah berkata, pada masa kini para penyokong bola sepak tanah air berasa terluka, marah dan kecewa dengan skandal bola sepak negara itu.
“Kita juga tidak boleh melupakan pasukan Harimau Malaya yang akan menentang Laos minggu ini. Kepada pemain Malaysia, kami sentiasa bersama anda,”katanya.
Sebelum ini, FAM dan tujuh pemain warisan terbabit dikenakan tindakan tegas selepas Jawatankuasa Disiplin FIFA mendapati berlaku pelanggaran Artikel 22 Kod Disiplin FIFA (FDC) berkaitan pemalsuan dokumen.
FIFA mendakwa FAM telah mengemukakan dokumen yang telah diubah suai ketika membuat semakan kelayakan pemain kepada badan induk dunia itu.
Berikutan itu, FAM diarahkan membayar denda sebanyak CHF350,000 (RM1.85 juta) kepada FIFA, manakala setiap pemain terbabit dikenakan denda CHF2,000 (RM10,500) dan digantung selama 12 bulan daripada sebarang aktiviti berkaitan bola sepak, berkuat kuasa serta-merta. – Edisi 9

