PERSATUAN Bolasepak Malaysia (FAM) tetap dengan pendirian bahawa kesilapan kakitangannya yang memuat naik dokumen menjadi punca kemelut tujuh pemain warisan negara pada masa kini.
Menurut kenyataan FAM, kakitangannya itu telah memuat naik dokumen daripada ejen ketika mengemukakan permohonan dan bukannya dokumen rasmi yang dikeluarkan oleh Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).
FAM berkata, pihaknya kini sedang mempersiapkan rayuan dengan menggunakan dokumen asal yang sah serta disahkan oleh Kerajaan Malaysia.
“Seperti yang telah dijelaskan sebelum ini, kesilapan yang berlaku berpunca daripada wrong submission iaitu ralat pentadbiran (administrative error), apabila seorang kakitangan tersilap memuat naik dokumen daripada ejen dan bukannya dokumen rasmi yang dikeluarkan oleh JPN.
“FAM akan mengemukakan rayuan rasmi berhubung kesimpulan ini, dan kekal komited mempertahankan integriti bola sepak negara berdasarkan fakta serta dokumen sahih,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sebelum ini Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) mengemukakan Alasan Penghakiman berhubung hukuman yang dikenakan ke atas FAM dan tujuh pemain warisan negara berkaitan kes pemalsuan dokumen.
Tujuh pemain terbabit ialah Gabriel Palmero, Facundo Garces, Rodrigo Holgado, Imanol Machuca, Joao Figueiredo, Jon Irazabal dan Hector Alejandro Hevel.
FIFA berkata, berdasarkan laporan siasatan, ketujuh-tujuh pemain terbabit tidak mempunyai pertalian darah sama sekali dengan Malaysia, sepertimana dokumen yang diserahkan oleh FAM kepada badan induk dunia itu.
FAM menegaskan, gambaran yang diberikan dalam keputusan FIFA tersebut adalah tidak tepat.
“Dakwaan bahawa pemain “memperoleh atau mengetahui mengenai dokumen palsu” adalah tidak berasas kerana tiada bukti kukuh dikemukakan setakat ini.
“FAM ingin menegaskan bahawa para pemain warisan yang terlibat adalah rakyat Malaysia yang sah,” katanya.
Baru-baru ini, FAM dan tujuh pemain warisan terbabit dikenakan tindakan tegas selepas Jawatankuasa Disiplin FIFA mendapati berlaku pelanggaran Artikel 22 Kod Disiplin FIFA (FDC) berkaitan pemalsuan dokumen.
FIFA mendakwa FAM telah mengemukakan dokumen yang telah diubah suai ketika membuat semakan kelayakan pemain kepada badan induk dunia itu.
Berikutan itu, FAM diarahkan membayar denda sebanyak CHF350,000 (RM1.85 juta) kepada FIFA, manakala setiap pemain terbabit dikenakan denda CHF2,000 (RM10,500) dan digantung selama 12 bulan daripada sebarang aktiviti berkaitan bola sepak, berkuat kuasa serta-merta. — Edisi 9

