Monday, July 20, 2026

CAS tangguh hukuman, tujuh pemain warisan dibenar beraksi

Berikutan keputusan CAS membenarkan Permohonan Penangguhan Pelaksanaan yang dikemukakan oleh tujuh pemain Harimau Malaya.

Mesti Baca

SKUAD Harimau Malaya boleh menarik nafas lega sekurang-kurangnya untuk seketika!

Ini berikutan keputusan Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS) membenarkan Permohonan Penangguhan Pelaksanaan yang dikemukakan oleh tujuh pemain Harimau Malaya.

Keputusan itu sekaligus membolehkan kesemua pemain terbabit meneruskan karier dalam semua aktiviti bola sepak, termasuk beraksi semula bersama Harimau Malaya sehingga keputusan muktamad rayuan di CAS dibuat.

Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) berkata, ini bermakna hukuman penggantungan selama 12 bulan daripada semua aktiviti bola sepak yang dikenakan oleh Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) terhadap tujuh pemain Harimau Malaya tersebut ditangguhkan buat sementara waktu.

“FAM ingin memaklumkan bahawa CAS telah membenarkan permohonan Penangguhan Pelaksanaan yang dikemukakan oleh tujuh pemain pasukan kebangsaan iaitu Facundo Garcés, Rodrigo Holgado, Imanol Machuca, João Figueiredo, Gabriel Palmero, Jon Irazabal dan Héctor Hevel.

“Keputusan ini bermakna hukuman penggantungan selama 12 bulan daripada semua aktiviti bola sepak yang dikenakan oleh FIFA terhadap tujuh pemain Harimau Malaya tersebut ditangguhkan buat sementara waktu, dan mereka dibenarkan untuk meneruskan karier serta menyertai sebarang aktiviti berkaitan bola sepak sehingga keputusan muktamad rayuan di CAS dibuat,” kata FAM lewat malam ini.

Pada September lalu FAM dan tujuh pemain warisan negara berdepan tindakan tegas selepas Jawatankuasa Disiplin FIFA mendapati berlaku pelanggaran Artikel 22 Kod Disiplin FIFA (FDC) berkaitan pemalsuan dokumen.

FIFA berkata, FAM telah mengemukakan dokumen yang telah diubah suai ketika membuat semakan kelayakan pemain kepada badan induk dunia itu.

Ini sekali gus membolehkan kesemua pemain terbabit diturunkan ketika skuad Harimau Malaya berdepan Vietnam dalam aksi pertama Kumpulan F Kelayakan Akhir Piala Asia 2027 di Stadium Nasional Bukit Jalil pada 10 Jun lalu.

Berikutan itu, FAM diarahkan membayar denda sebanyak CHF350,000 (RM1.85 juta) kepada FIFA, manakala setiap pemain terbabit dikenakan denda CHF2,000 (RM10,500) dan digantung selama 12 bulan daripada sebarang aktiviti berkaitan bola sepak, berkuat kuasa serta-merta.

FAM kini dalam proses menunggu keputusan rayuan di peringkat CAS. — Edisi 9

Terkini

AMH desak menteri, timbalan menteri BN letak jawatan

SEMUA menteri dan timbalan menteri dari Barisan Nasional (BN) didesak meletakkan jawatan masing-masing susulan tindakan parti itu yang secara...

Lagi Artikel Berkaitan