KETIADAAN para pemain warisan “mi segera” nyata membawa tuah kepada anak jati tempatan untuk mencurah keringat buat skuad kebangsaan menghadapi Vietnam dalam Kumpulan C, Kelayakan Piala Asia 2027 di Stadium Thien Truong, Nam Dinh pada 31 Mac ini.
Biarpun peluang Harimau Malaya sudah tertutup untuk beraksi di pusingan akhir di Arab Saudi, namun setidaknya mereka dapat membuktikan kemampuan mereka di peringkat antarabangsa.
Antara dua nama yang dipanggil oleh pengendali Peter Cklamovski ialah Muhammad Feroz Baharuddin dan Muhammad Syahmi Safari yang sebelum ini memperkuatkan skuad Bawah 23 Tahun (B-23) kebangsaan.
Feroz baru kembali beraksi musim ini bersama Johor Darul Takzim (JDT) setelah berehat panjang sejak musim 2024/2025 ekoran kecederaan.
Manakala Syahmi pula kali terakhir dipanggil untuk menghadapi Piala Asia 2023 pada tahun 2022 namun digugurkan akibat kecederaan.
Sementara itu, penjaga gol skuad B-23 iaitu Muhammad Haziq Aiman Mohd Esa pula diletakkan di bawah program Pembangunan Penjaga Gol.
Dalam pada itu, harapan peminat mahu menyaksikan Bergson Da Silva dan Giancarlo Gallifuoco menyarung jersi Harimau Malaya belum menjadi kenyataan.
Tonggak JDT dan KL City yang sudah melengkapkan tempoh lima tahun bermain dalam Liga Malaysia dan layak dinaturalisasikan tidak disenarai oleh Cklamovski.
Sebelum ini urusan untuk mendapatkan pasport bagi kedua-dua pemain tersebut dilapor semakin hampir untuk dimuktamadkan.
Malaysia kini mengutip sembilan mata di tangga kedua Kumpulan C setelah dua kemenangan iaitu bertemu Nepal di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri pada 25 Mac 2025 dan Vietnam di Stadium Nasional Bukit Jalil pada 10 Jun 2025 dibatalkan kerana menurunkan pemain tidak layak dalam kedua-dua perlawanan tersebut.
Berikut 28 pemain yang dipanggil Cklamovski bagi menghadapi Vietnam:
PENJAGA GOL: Azri Ghani, Haziq Nadzli, Syihan Hazmi, Haziq Aiman. PERTAHANAN: Corbin-Ong, Daniel Ting, Declan Lambert, Dion Cools, Dominic Tan, Feroz Baharuddin, Harith Haiqal, Junior Eldstar, Matthew Davis, Syahmi Safari, Quentin Cheng, Ubaidullah Shamsul, Zikri Khalili. TENGAH: Endrick Dos Santos, Nazmi Faiz, Nooa Laine, Ryan Lambert, Sergio Aguero, Stuart Wilkins. PENYERANG: Faisal Halim, Luqman Hakim, Paulo Josue, Ramadhan Saifullah, Safawi Rasid. — Edisi 9

