TERENGGANU Football Club Sdn. Bhd. (TFCSB) tampil menjelaskan dakwaan bahawa kelab itu gagal melunaskan tunggakan gaji bekas pemain importnya, Ivan Mamut sehingga mereka menerima sekatan perpindahan oleh Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA).
Menurut kenyataan TFCSB, pihaknya telah menjalankan tanggungjawab secara profesional dan mematuhi prosedur perundangan bola sepak antarabangsa.
“Untuk makluman, TFCSB telah membuat sebahagian pembayaran kepada pemain import, Ivan Mamut sebagai komitmen kelab dalam menyelesaikan perkara ini secara teratur.
“Baki bayaran akan diselesaikan dalam tempoh yang ditetapkan dan perkara ini adalah di bawah kawalan serta pemantauan pihak kelab,” kata kenyataan kelab itu, malam tadi.
Sehubungan itu, TFCSB berkata? pihaknya telah menghantar bukti pembayaran kepada pihak pemain serta memaklumkan perkara ini kepada FIFA.
“TFCSB akan mematuhi sebarang keputusan yang ditetapkan mengikut peraturan yang berkuat kuasa.
“TFCSB sentiasa komited untuk bertindak secara telus dan profesional, selain memastikan setiap urusan melibatkan kelab diselesaikan mengikut garis panduan yang sah.
“Kelab akan berkongsi perkembangan terbaru sebaik menerima keputusan daripada FIFA setelah penyelesaian dilakukan,” katanya.
Beberapa hari lalu, pasukan Liga Super itu dikatakan kembali dikenakan sekatan pendaftaran pemain untuk tiga jendela perpindahan berkuatkuasa 9 Februari lalu.
Ini selepas semakan di laman sesawang sekatan perpindahan FIFA mendapati nama pasukan itu turut tersenarai untuk sekatan terbabit.
Difahamkan ia berkaitan tuntutan tunggakan gaji oleh bekas pemain import dari Croatia itu yang dikatakan masih belum dilunaskan. – Edisi 9

