Monday, July 20, 2026

FAM dakwa ‘penggambaran’ FIFA tidak adil, tidak tepat

FAM kekal komited untuk mempertahankan kepentingan bola sepak negara, melindungi hak para pemain, serta memastikan proses ini berjalan dengan telus dan mengikut peraturan.

Mesti Baca

PERSATUAN Bolasepak Malaysia (FAM) bagai kecewa dengan tindakan Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) yang mendedahkan pembuktian bahawa tujuh pemain warisan negara memperoleh “dokumen yang dipalsukan”.

FAM dalam kenyataannya menegaskan, tiada sebarang bukti yang menyokong dakwaan tersebut telah dikemukakan oleh FIFA.

“FAM berpendapat bahawa penggambaran ini adalah tidak tepat serta tidak adil, dan perkara ini akan dibangkitkan secara menyeluruh melalui proses rayuan rasmi.

“FAM kekal komited untuk mempertahankan kepentingan bola sepak negara, melindungi hak para pemain, serta memastikan proses ini berjalan dengan telus dan mengikut peraturan.

“FAM akan menggunakan segala saluran undang-undang yang ada untuk memperjuangkan kes ini,” kata kenyataan badan bola sepak kebangsaan itu hari ini.

Tempat lahir sebenar datuk dan nenek tujuh pemain warisan berbanding dokumen yang diserahkan FAM.

Kenyataan itu susulan pendedahan FIFA berhubung status kerakyatan tujuh pemain warisan yang direkrut di bawah projek revolusi bola sepak kebangsaan di bawah Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail.

Dalam laporan rasmi bertajuk Notification of the Grounds of the Decision, Jawatankuasa Tatatertib FIFA menjelaskan hukuman itu dikenakan susulan pelanggaran di bawah Artikel 22 Kod Tatatertib FIFA babitkan pemalsuan serta pengubahsuaian dokumen rasmi.

Siasatan mendapati beberapa dokumen sokongan yang dihantar oleh FAM termasuk sijil kelahiran datuk dan nenek pemain mengandungi butiran tidak sepadan dengan rekod asal di negara kelahiran sebenar pemain-pemain berkenaan.

Semakan lanjut mendapati individu yang dinamakan sebagai datuk dan nenek kepada tujuh pemain itu bukanlah dilahirkan di Malaysia, bertentangan dengan maklumat yang dikemukakan kepada FIFA.

Sebelum itu, FAM mengesahkan pihaknya telah menerima dokumen penghakiman penuh daripada FIFA berhubung keputusan tatatertib berkaitan isu dokumentasi kelayakan tujuh pemain kebangsaan terbabit.

Tujuh pemain terbabit ialah Gabriel Palmero, Facundo Garces, Rodrigo Holgado, Imanol Machuca, Joao Figueiredo, Jon Irazabal dan Hector Alejandro Hevel.

FAM berkata, dengan penerimaan dokumen tersebut, pihaknya akan mengemukakan rayuan secara rasmi melalui saluran undang-undang yang ditetapkan.

“FAM juga ingin menegaskan bahawa semua dokumen serta bukti sokongan berkaitan isu ini telah lengkap sepenuhnya dan sedia untuk dikemukakan kepada FIFA dengan kadar segera melalui saluran rasmi,”katanya.

Mempertahankan perkara itu, FAM menegaskan, segala dokumentasi dan penyerahan berkaitan kelayakan pemain telah disediakan, disahkan, dan diuruskan sepenuhnya oleh FAM mengikut prosedur yang ditetapkan.

“Pada setiap masa, para pemain bertindak dengan penuh niat baik, bergantung sepenuhnya kepada proses pengesahan dan pendaftaran yang dijalankan oleh FAM,”katanya.

FAM turut menegaskan bahawa kes tersebut melibatkan dan mengandungi maklumat rasmi berhubung prosedur kerajaan Malaysia bagi pengeluaran dan pengesahan pasport.

Katanya, selaras dengan peruntukan Akta Rahsia Rasmi 1972 dan Akta Pasport 1966, sebarang pendedahan berkaitan bahan atau proses tersebut tanpa kebenaran adalah dilarang sama sekali.

“Justeru, FAM terikat secara undang-undang untuk mengekalkan kerahsiaan terhadap elemen-elemen tersebut.

“Oleh itu, FAM hanya akan berkongsi maklumat berkenaan dengan pihak FIFA bagi tujuan kes ini sahaja,” katanya.

Sebelum ini, FAM dan tujuh pemain warisan terbabit dikenakan tindakan tegas selepas Jawatankuasa Disiplin FIFA mendapati berlaku pelanggaran Artikel 22 Kod Disiplin FIFA (FDC) berkaitan pemalsuan dokumen.

FIFA mendakwa FAM telah mengemukakan dokumen yang telah diubah suai ketika membuat semakan kelayakan pemain kepada badan induk dunia itu.

Berikutan itu, FAM diarahkan membayar denda sebanyak CHF350,000 (RM1.85 juta) kepada FIFA, manakala setiap pemain terbabit dikenakan denda CHF2,000 (RM10,500) dan digantung selama 12 bulan daripada sebarang aktiviti berkaitan bola sepak, berkuat kuasa serta-merta. – Edisi 9

Terkini

AMH desak menteri, timbalan menteri BN letak jawatan

SEMUA menteri dan timbalan menteri dari Barisan Nasional (BN) didesak meletakkan jawatan masing-masing susulan tindakan parti itu yang secara...

Lagi Artikel Berkaitan