PROGRAM Pengalaman Homestay Malaysia (PPHM) akan menjadi antara pemacu utama kejayaan Tahun Melawat Malaysia 2026 (VM2026), kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.
Beliau berkata, kerajaan melalui Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW), Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) serta agensi berkaitan komited memperkukuh PPHM sebagai salah satu tonggak utama sektor pelancongan desa.
“Sehingga Ogos 2025, PPHM telah menjana pendapatan lebih RM39.83 juta dengan menerima lebih 620,000 pelancong ke inap desa di seluruh negara.
“Antara negeri tertinggi menerima pelancong ialah Sabah, Johor dan Pahang,” katanya selepas mempengerusikan Mesyuarat Koordinasi Inap Desa Kali Ketiga Bil. 2 Tahun 2025.
Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata, kerajaan turut memperkenalkan pelbagai langkah strategik termasuk pemasaran dan promosi antarabangsa melalui misi jualan, pameran serta seminar di pasaran sasaran seperti Indonesia, China, Korea, Jepun, Vietnam dan New Zealand.
Platform digital seperti jomhomestay.my dan go2homestay.my turut diperkasa bagi memudahkan tempahan pelancong, manakala lebih 12 skim pembiayaan dan geran kerajaan disediakan kepada pengusaha inap desa melalui agensi seperti TEKUN Nasional, AIM, SME Bank, Bank Rakyat dan SPED.
“Inisiatif ini bukan sahaja membantu pengusaha meningkatkan kualiti premis dan pengalaman pelancong, malah memperkukuh daya saing serta menjamin kelestarian produk komuniti tempatan,” katanya.
Dalam aspek pendidikan dan pertukaran pelajar, Zahid berkata pakej edu-tourism di inap desa kini menyasarkan pelajar dari Jepun, Korea, China, Vietnam, Singapura dan Indonesia.
Program pertukaran pelajar turut diperluas melalui kerjasama dengan institusi di bawah Kementerian Pendidikan Tinggi dan Maktab Rendah Sains MARA (MRSM).
Selain itu, KKDW turut meluluskan peruntukan lebih RM1.1 juta bagi baik pulih jalan perhubungan desa dan kemudahan komuniti bagi menyokong ekosistem inap desa.
Tumpuan juga diberikan kepada pengusaha wanita menerusi program TVET JELITA dan Latihan Pengoperasian Homestay oleh INFRA (KKDW), yang menawarkan Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) Tahap 2 dan 3 dalam bidang keusahawanan inap desa.
“Inap desa adalah nadi penghubung antara pelancong dan komuniti desa. Ia bukan sekadar menjana pendapatan, tetapi melestarikan budaya, memperkukuh perpaduan serta membuka peluang baharu untuk generasi muda,” ujarnya.
Beliau yakin dengan pendekatan bersepadu ini, pendapatan sektor inap desa mampu mencapai RM200 juta menjelang 2026, seterusnya menyumbang kepada sasaran 5 juta pelancong menjelang 2030, sekali gus memperkukuh ekonomi desa dan imej Malaysia di peringkat global. — Edisi 9

