32.9 C
Kuala Lumpur
Saturday, April 27, 2024

Kalimah Allah: UMNO dukung titah Agong ambil tindakan keras

Mesti Baca

UMNO mendukung penuh titah Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim supaya tindakan sekeras-kerasnya diambil terhadap mana-mana pihak yang didapati curang dan terlibat dalam sebarang usaha memperlekeh kalimah Allah.

Perkara itu ditegaskan dalam mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, hari ini.

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki dalam kenyataan berkata, parti itu amat prihatin dengan beberapa isu sensitif yang menyentuh kesucian agama Islam.

Pada masa sama, kata beliau, UMNO turut prihatin terhadap kes polemik perkauman dan mampu mencetuskan suasana tidak harmoni dalam masyarakat majmuk negara.

“Sehubungan dengan itu, UMNO berpendirian tegas dan teguh dengan titah Yang di-Pertuan Agong yang menyeru semua lapisan masyarakat menjaga keharmonian negara dan tidak memainkan isu sensitif membabitkan raja, kaum dan agama (3R).

“Isu-isu seperti gugatan kepada akidah Islam dalam filem Mentega Terbang, cadangan pewartaan Kampung Baharu Cina sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO, bak kut teh dan terkini isu kalimah Allah di stoking adalah sebahagian daripada isu yang menjadi polemik memudaratkan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut, Asyraf Wajdi menegaskan, UMNO juga tidak akan sesekali berkompromi dengan apa jua tindakan yang memperkotak-katikkan agama Islam.

Advertisements

Katanya, perkara itu sejajar dengan UMNO sebagai parti yang menjadi benteng dan pemelihara kepada kedaulatan Islam serta kepentingan bangsa.

“Demi memelihara keharmonian, kerukunan dan perpaduan rakyat berbilang kaum dan agama yang sudah lama terbina di negara tercinta ini, UMNO menyeru semua agar isu-isu mutakhir ini dijadikan sempadan dan pengajaran penting supaya tidak berulang kembali,” katanya.

Sebelum ini, Sultan Ibrahim murka dan menzahirkan perasaan dukacita berhubung isu penjualan sarung kaki atau stoking yang tertera kalimah Allah di sebuah rangkaian kedai serbaneka.

Baginda bertitah mahu tindakan paling keras diambil terhadap mana-mana pihak yang didapati bersalah.

Yang di-Pertuan Agong juga bertitah, adalah tidak masuk akal sebuah syarikat dengan kakitangannya terdiri daripada warganegara Malaysia tidak peka dengan perkara sedemikian.

Baginda bertitah, sebagai sebuah negara dengan masyarakat majmuk, kesilapan seumpama itu tidak boleh diterima dan tidak dibenarkan untuk berlaku lagi. – Edisi 9

Advertisements

Terkini

PRK Kuala Kubu Baharu saksikan pertembungan empat penjuru

PILIHAN Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Baharu menyaksikan pertandingan empat penjuru antara Khairul Azhari Saut...

Lagi Artikel Berkaitan