LUAR biasa! Itulah ungkapan terbaik untuk tiga pasangan beregu negara apabila mereka menjuarai kejohanan badmindon Masters Indonesia 2026 di Istora Senayan, Jakarta hari ini.
Paling cemerlang, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani yang menumbangkan pasangan muda tuan rumah, Raymond Indra-Nikolaus Joaquin dengan 21-19, 21-13.
Biarpun beregu lawan mendapat sorakan padu penonton namun sedikitpun tidak melunturkan semangat permainan pasangan ketiga negara itu apabila sekali gus membalas dendam kekalahan kepada pasangan sama di Terbuka Australia, November tahun lalu.
Ini merupakan kejohanan pertama dimenangi Sze Fei-Nur Izzuddin tahun ini serta berjaya mengekalkan kejuaraan yang dimenangi oleh Man Wei Chong-Tee Kai Wun tahun lalu.
Dalam pada itu, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei turut mencipta kemenangan untuk menjuarai kategori beregu campuran setelah menundukkan jaguh Denmark, Mathias Christiansen-Alexandra Boje.
Tang Jie-Ee Wei yang juga pilihan ketiga kejohanan menang dengan 15-21, 21-17, 21-11 sekali gus mencatat nama sebagai beregu campuran pertama negara menjuarai Masters Indonesia.
Sementara itu, beregu wanita No. 1 negara, Pearly Tan-M. Thinaah tidak perlu menitiskan keringat untuk menjuarai kategori beregu wanita apabila lawan mereka, Arisa Igarashi-Miyu Takahashi menarik diri.
Kecederaan yang dialami oleh Miyu Takahashi menjadi punca pasangan dari Jepun ini terpaksa memberi kemenangan percuma kepada Pearly-Thinaah.
Kali terakhir beregu wanita negara muncul juara dalam Masters Indonesia menerusi Vivian Hoo-Woon Khe Wei pada 2011. – Edisi 9

