Sunday, July 19, 2026

Tiga beregu negara mara ke suku akhir Seluruh England 

Wei Chong/Kai Wun mencipta sejarah tersendiri apabila pertama kali berjaya mara ke suku akhir dalam kejohanan badminton paling berprestij dan tertua dunia itu.

Mesti Baca

Editor Edisi 9
Editor Edisi 9
Editor Edisi 9

TIGA beregu negara meneruskan cabaran ke suku akhir kejohanan badminton Seluruh England 2026 setelah melepasi lawan masing-masing di pusingan 16 di Utilita Arena, Birmingham pada Khamis.

Mereka ialah dua beregu lelaki negara, Man Wei Chong/Tee Kai Wun  dan Aaron Chia/Soh Wooi Yik serta beregu wanita utama negara, Pearly Tan/M. Thinaah

Bagi Wei Chong/Kai Wun, mereka mencipta sejarah tersendiri apabila pertama kali berjaya mara ke suku akhir dalam kejohanan badminton paling berprestij dan tertua dunia itu.

Berada di ranking keenam dunia, beregu lelaki kedua negara itu mudah mengetepikan wakil Taiwan, Chiu Hsiang Chieh/Wang Chi-Lin 21-14, 21-18 dalam masa 33 minit.

Bagi Aaron/Wooi Yik pula, mereka diberi tentangan sengit oleh rakan senegara, Arif Junaidi/Yap Roy King sebelum menang 21-15, 18-21, 21-18.

Malang bagi kedua-dua beregu ini apabila mereka bakal berentap sesama sendiri di peringkat suku akhir esok, sekali gus mengesahkan satu slot separuh akhir milik wakil negara.

Sementara itu Pearly/Thinaah pula tidak berdepan banyak masalah untuk menundukkan pasangan tidak ternama Korea Selatan, Lee Seo Jin/Lee Yeon Woo.

Pemain ranking kedua dunia itu menang mudah 21-14, 21-14 dalam masa 43 minit.

Di peringkat suku akhir esok, beregu negara ini bakal berdepan lawan yang menyingkirkan mereka di pusingan pertama Terbuka Malaysia Januari lalu, Febriana Dwipuji Kusuma/Meilysa Trias Puspitasari.

Bagaimanapun, berdasarkan rekod pertemuan Pearly/Thinaah mempunyai lebih kemenangan 4:1 ke atas beregu Indonesia tersebut.

Sementara itu, peluang untuk melihat beregu lelaki profesional negara, Goh Sze Fei/Nur Izzuddin mara tidak kesampaian.

Pemain kelapan dunia itu tewas kepada beregu Indonesia, Muhammad Rian Ardianto/Rahmat Hidayat 16-21, 21-23.

Beregu muda negara yang membuat kejutan menewaskan bekas beregu No.1 dunia dari India, hari ini gagal mengatasi lawannya dari China.

Mereka tewas 19-21, 17-21 kepada pasangan ke-11 dunia itu, Chen Bo Yang/Liu Yi dalam masa 48 minit.

Turut tersingkir beregu campuran negara, Goh Soon Huat/Shevon Lai yang tunduk kepada jaguh China, Jiang Zhen Beng/Wei Ya Xin 16-21, 18-21.

Manakala pemain perseorangan lelaki negara, Leong Jun Hao belum cukup ampuh untuk mengatasi Koki Watanabe dan tewas 9-21, 13-21 kepada pemain Jepun itu. — Edisi 9

Terkini

Exco Johor: Enam kekal portfolio, empat lantikan baharu

SERAMAI 10 Ahli Majlis Mesyuarat (Exco) Kerajaan Negeri Johor bagi penggal 2026-2031 hari ini mengangkat sumpah jawatan masing-masing hari...

Lagi Artikel Berkaitan