BEREGU wanita No. 2 dunia, Pearly Tan-M.Thinaah melangkah bergaya ke separuh akhir kejohanan badminton Seluruh England 2026 di Utilita Arena Birmingham pada Jumaat.
Kejayaan menumpaskan Febriana Dwipuji Kusuma-Meilysa Trias Puspitasari di peringkat suku akhir sekali gus mengiringi beregu lelaki negara Aaron Chia-Soh Wooi Yik yang lebih awal menempat slot ke separuh akhir.
Turun sebagai pilihan kedua kejohanan, Pearly-Thinaah mudah menewaskan pasangan Indonesia itu pada set pertama dengan 21-9.
Bagaimanapun pada set kedua, Febriana-Meilysa memperbaiki permainan dengan mengurangkan kesilapan mudah sehingga memaksa pasangan negara bekerja keras.
Bahkan beregu di rangking ke-21 itu mengatasi pungutan mata sejak awal namun diekori rapat oleh Pearly-Thinaah sehingga dapat menyamakan kedudukan pada 13-13.
Namun pada kedudukan 16-16, Pearly-Thinaah terus mengasak pasangan lawan sehingga berjaya memenangi set kedua 21-18.
Inilah kali pertama Pearly-Thinaah sampai ke separuh akhir dalam kejohanan berprestij itu dalam enam penampilan yang mana lima daripadanya sebelum ini terkandas di suku akhir sahaja.
Esoh Pearly-Thinaah akan membuat perhitungan dengan beregu keempat dunia dari Korea Selatan, Baek Ha Na-Lee So Hee dalam misi memburu kejuaraan kejohanan badminton tertua dunia itu.
Kali terakhir beregu wanita negara layak ke peringkat separuh akhir kejohanan itu ialah pada 2007 menerusi gandingan Chin Eei Hui-Wong Pei Tty.
Sementara itu Aaron Chia-Soh Wooi Yik menyingkirkan rakan senegara, Man Wei Chong-Tee Kai Mun 21-16, 20-22, 21-14 untuk memburu kejuaraan pertamanya di Seluruh England.
Pasangan ranking kedua dunia itu akan berdepan Chen Bo Yang-Liu Yi dari China di peringkat separuh akhir esok. — Edisi 9

