PASANGAN beregu utama negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik hanya selangkah untuk meraih gelaran kejohanan badminton Seluruh England 2026.
Pilihan kedua kejohanan itu menyingkirkan pasangan China, Chen Bo Yang-Liu Yi dalam aksi separuh akhir di Utilita Arena Birmingham pada Sabtu.
Pemenang gangsa Sukan Olimpik 2022 dan 2024 itu mengambil masa 42 minit untuk menumpaskan lawan mereka yang juga pasangan di ranking ke m-11 dunia dengan keputusan 21-11, 21-19.
Menanti Aaron-Wooi Yik di pentas akhir ialah pilihan pertama kejohanan dari Korea Selatan, Kim Won Ho-Seo Seung Jae yang menyingkirkan gandingan Indonesia Raymond Indra-Nikolaus Joaquin 21-19, 21-13 sebentar tadi.
Kali terakhir beregu lelaki Malaysia memenangi gelaran All England menerusi Koo Kien Keat-Tan Boon Heong pada edisi 2007.
Sementara, harapan menyaksikan pemain wanita Malaysia mara ke final kejohanan berprestij dan tertua itu buat kali pertama tidak kesampaian apabila beregu wanita negara, Pearly Tan-M.Thinaah tewas di peringkat separuh akhir.
Pilihan kedua kejohanan itu gagal mengatasi kekebalan pasangan keenam dari Korea Selatan, Baek Ha Na-Lee So Hee 17-21, 18-21.
Bagaimana pun kejayaan mara ke separuh akhir telah menyamai pencapaian Chin Eei Hui-Wong Pei Tty yang melakukannya pada 2007. — Edisi

