Sunday, July 19, 2026

Parti-parti politik Melayu, Islam bermusyawarah kali pertama

Sebanyak lapan parti politik berteraskan Melayu, Islam dan Bumiputera telah menghadiri musyawarah yang pertama itu hari ini.

Mesti Baca

Editor Edisi 9
Editor Edisi 9
Editor Edisi 9

PARTI-PARTI politik berteraskan Islam, Melayu dan Bumiputera telah mencipta sejarah apabila mereka mengadakan musyawarah khas buat kali pertama di Menara Dato Onn, Kuala Lumpur.

Dicetuskan oleh Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, musyawarah itu bertujuan membincangkan isu-isu yang berkaitan agama Islam serta bangsa Melayu dan Bumiputera.

Menurut Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, sebanyak lapan parti politik berteraskan Melayu, Islam dan Bumiputera telah menghadiri musyawarah yang pertama itu hari ini.

Parti-parti terbabit ialah Pas, PKR, Amanah, Parti Gagasan Rakyat Sabah (PGRS), Parti Berjasa Malaysia (Berjasa), Kongres India Muslim Malaysia (KIMMA), Parti Ikatan Bangsa (IKATAN) serta UMNO selaku tuan rumah.

“Saya diamanahkan oleh Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi untuk mempengerusikan musyawarah pertama ini yang dicetuskan beliau untuk menghimpunkan pelbagai parti-parti tidak kira dari blok kerajaan mahupun pembangkang demi maslahah ummah dan Islam.

“Musyawarah ini menjadi wahana penting untuk bertukar pandangan secara terbuka demi mencari titik persefahaman dalam perkara-perkara yang menyentuh kepentingan bersama yang melibatkan Islam, Melayu dan Bumiputera di negara ini,” katanya hari ini.

Antara yang kelihatan hadir ialah Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan; Pengarah Komunikasi Amanah, Khalid Abdul Samad dan Ahli Majlis Pimpinan Pusat PKR, Dr Maszlee Malik.

Bagaimanapun difahamkan tiada wakil Bersatu menghadiri musyawarah tersebut.

Asyraf Wajdi berkata, pada hakikatnya dalam sistem demokrasi, parti-parti politik boleh berbeza pandangan sama ada berada di blok kerajaan mahupun pembangkang. 

“Perbezaan itu adalah lumrah dalam politik. Namun apabila menyentuh soal kepentingan Islam, kedudukan Melayu serta masa depan Bumiputera, ia seharusnya menjadi titik temu yang menyatukan kita semua melangkaui perbezaan politik kepartian,” katanya.

Beliau berkata, hasil pertemuan itu satu Sekretariat Musyawarah Parti-Parti Teras Islam, Melayu dan Bumiputera akan diwujudkan.

Katanya, ia sebagai platform atau wahana yang akan menyediakan ruang untuk perbincangan, perundingan dan dialog terbuka, tulus dan telus secara berterusan dalam isu-isu berkepentingan bersama menyentuh kedudukan Islam, Melayu dan Bumiputera. — Edisi 9

Terkini

Layan ‘final’ Piala Dunia dan Semarak Subuh bersama TPM

PASUKAN mana pilihan anda dalam perlawanan akhir Piala Dunia 2026, awal pagi ini? Sepanyol atau Argentina? Para peminat bola sepak,...

Lagi Artikel Berkaitan