Sunday, July 19, 2026

Maritim Malaysia perlu ‘thinking ahead’ tangani ancaman laut

Setiap pegawai dan anggota perlu berfikiran jauh dengan merancang berasaskan jangkaan risiko serta analisis data, bukan sekadar bertindak selepas sesuatu insiden berlaku.

Mesti Baca

AGENSI Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) tidak lagi boleh beroperasi secara reaktif dalam mendepani ancaman keselamatan di perairan negara, sebaliknya perlu membudayakan pendekatan “thinking ahead to get ahead” bagi memastikan agensi itu sentiasa selangkah di hadapan.

Ketua Pengarahnya, Datuk Mohd Rosli Abdullah menegaskan, selain tindakan proaktif, setiap pegawai dan anggota perlu berfikiran jauh dengan merancang berasaskan jangkaan risiko serta analisis data, bukan sekadar bertindak selepas sesuatu insiden berlaku.

“Kalau kita hanya bertindak selepas sesuatu berlaku, kita sudah ketinggalan. Kita perlu merancang lebih awal, melihat selangkah ke hadapan termasuk dalam aspek operasi, logistik dan pembangunan modal insan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengulas hasrat Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail yang disuarakan dalam Majlis Perhimpunan Bulanan Kementerian Dalam Negeri (KDN) anjuran bersama Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) hari ini.

Menurut Mohd Rosli, landskap keselamatan maritim kini berubah pantas dan menuntut pendekatan lebih strategik termasuk pemanfaatan teknologi kecerdasan buatan (AI).

“Penggunaan AI bukan lagi pilihan, sebaliknya satu keperluan strategik. AI mampu membantu kita mengenal pasti kekuatan sebenar aset di laut, mengesan jurang keperluan, merancang penugasan secara lebih sistematik serta memperkemas pengurusan penyelenggaraan dan logistik.

“Soalnya bukan lagi sama ada mahu guna atau tidak, tetapi sejauh mana kita bersedia untuk menguasainya,” tegas beliau.

Dalam perkembangan berasingan, Mohd Rosli turut menghadiri Majlis Penyampaian Bingkisan Aidilfitri anjuran PUSPANITA Cawangan Kecil Maritim Malaysia di Ibu Pejabat Maritim Malaysia.

Beliau berkata, sumbangan bingkisan itu merupakan tanda penghargaan dan penyuntik semangat kepada hampir 1,000 pegawai serta anggota yang bertugas sebagai barisan hadapan sepanjang musim perayaan demi memastikan kedaulatan dan keselamatan perairan negara terus terpelihara.

“Ingatlah, pengorbanan anda bukan sia-sia. Laksanakan tanggungjawab dengan penuh keikhlasan dan integriti demi Malaysia tercinta,” katanya.

Bingkisan berkenaan akan diagihkan kepada anggota yang bertugas di seluruh negara termasuk di kapal dan bot Maritim Malaysia. Turut hadir ialah barisan kepimpinan tertinggi Maritim Malaysia serta wakil PUSPANITA Cawangan Kecil agensi itu. — Edisi 9

Terkini

AMH desak menteri, timbalan menteri BN letak jawatan

SEMUA menteri dan timbalan menteri dari Barisan Nasional (BN) didesak meletakkan jawatan masing-masing susulan tindakan parti itu yang secara...

Lagi Artikel Berkaitan