Sunday, July 19, 2026

Khutbah Jumaat: Al-Quran mukjizat sepanjang zaman

Membaca al-Quran bukan amalan biasa, ia zikir yang paling utama dan ibadah yang besar sumber pahalanya di sisi Allah SWT.

Mesti Baca

Muslimin yang dirahmati Allah SWT sekalian,

Saya menyeru agar kita bersama-sama meningkatkan ketaqwaan kita kepada Allah SWT dengan melaksanakan segala perintah dan meninggalkan segala perkara yang dilarang-Nya.

Semoga kita semua diberikan kebahagiaan dan kejayaan di dunia dan di akhirat. Pada hari yang mulia ini, khatib akan membicarakan khutbah yang bertajuk “Al-Quran Mukjizat Sepanjang Zaman.”

Hadirin Jumaat yang dirahmati Allah SWT,

Kita kini berada dalam bulan Ramadhan, bulan yang secara fitrahnya mendekatkan hati-hati orang beriman dengan al-Quran.

Mengapa suasana ini begitu terasa? Kerana sesungguhnya al-Quran dan Ramadhan adalah dua anugerah yang tidak dapat dipisahkan.

Pada bulan inilah al-Quran diturunkan, bermula pada malam yang penuh keberkatan, dari Lawh al-Mahfuz ke Bait al-‘Izzah di langit dunia, seterusnya diturunkan kepada Rasulullah SAW.

Baginda menerima wahyu tersebut secara beransur-ansur selama dua puluh tiga tahun, sesuai dengan keperluan, peristiwa dan hikmah yang mengajar umat.

Firman Allah SWT dalam surah al-Dukhan ayat 3:

“Sesungguhnya Kami menurunkan al-Quran pada malam yang berkat. Sesungguhnya Kami sentiasa memberi peringatan dan amaran”.

Daripada ayat ini jelas bahawa malam yang diberkati itu menjadi titik permulaan turunnya wahyu yang mengejutkan manusia daripada kelalaian.

Seolah-olah Allah SWT mengajar kita bahawa keberkatan yang sebenar bukan semata-mata pada suasana malam tersebut, tetapi pada mesej yang dibawa oleh al-Quran itu sendiri iaitu memberi kesedaran kepada manusia.

Hadirin Jumaat yang dimuliakan,

Tujuan utama al-Quran diturunkan adalah untuk dihayati sebagai petunjuk dan panduan hidup.

Dengannya kita mampu membezakan antara perkara yang benar dan batil, serta menjadi perlembagaan kehidupan buat kita menuju keredaan Allah SWT.

Justeru, membaca al-Quran bukan amalan biasa, ia zikir yang paling utama dan ibadah yang besar sumber pahalanya di sisi Allah SWT.

Hadis yang diriwayatkan daripada Abdullah bin Mas’ud Radhiallahuanhu bahawa Rasulullah SAW bersabda:

“Sesiapa yang membaca satu huruf daripada kitab Allah baginya satu kebaikan, dan kebaikan itu digandakan dengan sepuluh kebaikan sepertinya, aku tidak berkata ‘Alif Lam Mim’ satu huruf, tetapi ‘Alif’ satu huruf, ‘Lam’ satu huruf dan ‘Mim’ satu huruf”. — Riwayat al-Tirmizi.

Inilah keistimewaan al-Quran kalam Allah SWT, mukjizat yang hidup sepanjang zaman. Semakin dibaca, semakin terasa kelazatannya.

Semakin ditadabbur, semakin tersingkap hikmah dan pengajarannya. Ia juga boleh menjadi rahmat dan penawar bagi orang-orang yang beriman.

Para ulama, antaranya al-Imam al-Nawawi Rahimahullah, menjelaskan bahawa antara amalan yang sangat dituntut dalam bulan Ramadhan ialah memperbanyakkan bacaan al-Quran, lebih-lebih lagi pada sepuluh malam terakhir, khususnya malam-malam yang ganjil.

Amatlah beruntung jikalau tadarus al-Quran dihidupkan sebagai budaya dalam rumah bersama ahli keluarga, di masjid, mahupun di surau bersama jemaah.

Melalui tadarus, kita dapat saling memperbetulkan bacaan di samping mengeratkan silaturahim dan ukhuwah sesama kita.

Tidak perlu malu sekiranya bacaan al-Quran kita masih tidak sebaik orang lain ketika sesi tadarus al-Quran.

Sesungguhnya sesiapa yang berusaha membaca dan mempelajari al-Quran dengan bersusah payah akan diberi dua ganjaran pahala.

Ini sebagaimana hadis yang diriwayatkan daripada Saidatina Aisyah Radiallahuanha bahawa Rasulullah SAW bersabda:

Orang yang mahir membaca al-Quran, maka dia akan ditemani oleh para Malaikat para pencatat yang mulia. Manakala orang yang membaca al-Quran dengan gagap dan menghadapi kepayahan ketika membacanya, maka dia mendapat dua pahala”. — Riwayat Muslim

Ingatlah, al-Quran juga akan memberi syafaat pada hari Kiamat buat mereka yang selalu membacanya.

Hadis daripada Abu Umamah al-Bahiliy Radhiallahuanhu bahawa Nabi SAW bersabda yang bermaksud:

“Bacalah al-Quran, sesungguhnya ia akan datang pada hari Kiamat dengan memberi syafaat kepada pembacanya.” — Riwayat Muslim

Jadi, janganlah kita terlalu leka dengan gajet dan media sosial hingga terlupa untuk mengejar fadhilat Ramadhan yang terpampang di depan mata.

Manfaatkanlah kemudahan teknologi yang ada ke arah kebaikan. Jadikan gajet yang berada di tangan kita sebagai wasilah untuk merebut kelebihan Ramadhan sama ada dengan membaca, mendengar dan mempelajari al-Quran.

Hari ini, al-Quran boleh diakses dengan mudah, di mana sahaja dan pada bila-bila masa.

Hadirin Jumaat yang berbahagia,

Andai hari ini masih berlaku rasuah, pengkhianatan amanah, kelalaian dalam ibadah, keruntuhan akhlak dan perpecahan dalam masyarakat, maka puncanya bukan kerana ketiadaan petunjuk, tetapi kerana manusia itu sendiri menjauhkan diri daripada al-Quran, sedangkan Allah SWT telah menyatakan dalam Surah Muhammad ayat 24 yang bermaksud:

“(Setelah diterangkan yang demikian) maka adakah mereka sengaja tidak berusaha memahami dan memikirkan isi al-Quran? Atau hati mereka sudah terkunci (sehingga terhalang daripada menerima ajaran al-Quran)?”.

Di sinilah kita melihat bahawa al-Quran merupakan mukjizat dan kurniaan Allah SWT yang perlu dijadikan pegangan dalam kehidupan kita.

Ia bukan sekadar dibaca, tetapi perlu diterokai, direnungi dan diamalkan agar menjadi cahaya yang menuntun setiap langkah perbuatan kita.

Oleh itu, manfaatkanlah bulan yang mulia ini dengan membaca al-Quran, mentadabburnya dan mengamalkan setiap pengajaran yang terkandung di dalamnya.

Tanamkan tekad dan keazaman kita untuk istiqamah mempelajari, membaca, dan memahami ayat-ayat Allah SWT.

Usaha ini insya-Allah akan membentuk refleksi akhlak al-Quran dalam perbuatan, percakapan, sikap dan amalan seharian kita seterusnya akan melahirkan umat Islam yang cemerlang dan benar-benar hidup dengan cahaya petunjuk al-Quran.

Saudaraku sidang Muslimin yang dirahmati Allah SWT,

Mengakhiri khutbah pada hari ini, mari bersama kita mengambil pengajaran yang boleh dijadikan pedoman dalam kehidupan seharian:

1. Umat Islam hendaklah yakin bahawa al-Quran adalah mukjizat Allah SWT. Membacanya mendatangkan pahala, mentadabburnya menambah ilmu dan kefahaman serta mendekatkan kita kepada Allah SWT.

2. Umat Islam hendaklah mengamalkan pengajaran al-Quran dalam setiap aspek kehidupan sama ada dalam ibadah, akhlak, tanggungjawab sosial dan interaksi sesama manusia supaya setiap perbuatan, percakapan dan sikap kita mencerminkan nilai-nilai yang terkandung dalam al-Quran.

3. Umat Islam hendaklah istiqamah membaca dan memahami ayat-ayat al-Quran setiap hari, lebih-lebih lagi di bulan Ramadan, kerana setiap bacaan dan usaha kita memahami al-Quran membawa ganjaran yang besar di sisi Allah SWT.

“Sesungguhnya orang yang selalu membaca kitab Allah dan mendirikan solat serta membelanjakan sebahagian rezeki yang Kami anugerahkan kepada mereka secara sembunyi atau terbuka, mereka (dengan amalan yang demikian) mengharapkan perdagangan yang tidak akan mengalami kerugian”. — Surah Fatir: 29


Sumber: Jabatan Agama Islam Selangor, 6 Mac 2026.

Terkini

AMH desak menteri, timbalan menteri BN letak jawatan

SEMUA menteri dan timbalan menteri dari Barisan Nasional (BN) didesak meletakkan jawatan masing-masing susulan tindakan parti itu yang secara...

Lagi Artikel Berkaitan