
Muslimin yang dirahmati Allah SWT sekalian,
Saya menyeru agar kita bersama-sama meningkatkan ketaqwaan kita kepada Allah SWT dengan melaksanakan segala perintah dan meninggalkan segala perkara yang dilarang-Nya.
Semoga kita semua diberikan kebahagiaan dan kejayaan di dunia dan di akhirat.
Pada hari yang mulia ini mimbar akan membicarakan khutbah yang bertajuk “Kerja Bukan Sekadar Mengejar Habuan”.
Muslimin yang berbahagia,
Kita sebagai khalifah di atas muka bumi ini sebenarnya memikul amanah dan tanggungjawab yang besar dalam memakmurkan kehidupan.
Amanah ini tidak akan terlaksana tanpa usaha dan pengorbanan, dan antara jalan utamanya ialah melalui pekerjaan.
Dengan bekerja, kita bukan sahaja memenuhi keperluan asas kehidupan seperti makan minum, tempat tinggal dan perbelanjaan harian, bahkan hakikatnya kita sedang menjalankan tanggungjawab sebagai hamba Allah SWT dan anggota masyarakat.
Dalam pada itu, Islam sangat menitikberatkan usaha mencari rezeki yang halal.
Sikap malas dan suka bergantung kepada orang lain tanpa keperluan adalah sifat yang ditegah, kerana ia merendahkan maruah seorang Muslim.
Sedarlah bahawa seorang Muslim yang berusaha dan berdikari adalah lebih mulia daripada mereka yang memilih untuk meminta-minta sedangkan dirinya masih mampu bekerja.
Dalam hal ini, tidak kira apa jua bidang yang diceburi sama ada sebagai peniaga, petani, nelayan, pekerja pembersihan atau apa sahaja jenis pekerjaan, yang paling utama ialah memastikan setiap rezeki yang diperoleh datang daripada sumber yang halal dan diberkati.
Rasulullah SAW sendiri mengajar kita tentang nilai usaha dan maruah dalam bekerja. Hadis yang diriwayatkan daripada al-Zubair bin al-‘Awwam Radiallahuanhu bahawa Rasulullah SAW bersabda:

“Sekiranya seseorang daripada kamu memikul kayu api pada belakangnya lalu menjualnya, maka Allah akan menahan air mukanya (memelihara maruahnya) dengan sebab memikul kayu api itu, lebih baik baginya daripada dia mengemis dan meminta-minta daripada orang lain, kerana boleh jadi orang itu memberi kepadanya atau tidak memberi apa-apa.” (Riwayat al-Bukhari).
Muslimin yang dimuliakan,
Hakikatnya, konsep ibadah dalam Islam bukan hanya terbatas kepada ibadah khusus seperti solat, puasa dan zakat, bahkan sebenarnya merangkumi ibadah umum dalam seluruh aspek kehidupan, termasuk pekerjaan seharian.
Firman Allah SWT dalam Surah Al-Zariyat ayat 56:

“Dan (ingatlah) Aku tidak mencipta jin dan manusia melainkan untuk beribadat kepada-Ku.”
Ayat ini memberi kefahaman bahawa seluruh kehidupan kita adalah ibadah apabila dilaksanakan dengan niat yang betul dan menepati syariat.
Maka bekerja juga boleh menjadi ibadah, jika dimulakan dengan niat yang ikhlas kerana Allah SWT, dilaksanakan dengan bersungguh-sungguh, menjaga waktu dan disiplin, serta mengamalkan akhlak Rasulullah SAW seperti jujur dan amanah dalam bekerja.
Namun, apakah nilai semua usaha dan kesungguhan itu. Jika kita masih lalai dalam menunaikan solat dan kewajipan asas sebagai seorang Muslim?
Apalah gunanya mengejar keuntungan, tetapi mengabaikan hubungan dengan Allah SWT?
Sebab itulah, pastikan setiap pekerjaan yang kita lakukan bukan sekadar memenuhi tuntutan dunia, tetapi menjadi jalan untuk mendekatkan diri kepada Allah SWT, agar hidup kita sentiasa diberkati dan tidak menjadi sia-sia di sisi-Nya.
Sidang Jumaat dan warga kerja sekalian,
Dalam usaha menjadikan pekerjaan sebagai ibadah, kita wajib memastikan bahawa setiap rezeki yang diperoleh berada dalam batas yang dihalalkan oleh syarak.
Kita juga perlu insafi bahawa setiap perkara yang haram tetap haram hukumnya, walau sebaik mana sekalipun niat di sebaliknya.
Islam tidak pernah merestui sesuatu yang haram dijadikan jalan untuk mencapai tujuan yang baik.
Kerap kali kita dengar ungkapan matlamat menghalalkan cara yang dijadikan alasan untuk mengejar habuan melalui kerja-kerja batil. Itu tidak benar sama sekali!
Sebaliknya, Islam mewajibkan umatnya mencari rezeki hanya melalui cara yang halal.
Oleh sebab itu, sesiapa yang mengumpul harta melalui amalan riba, rasuah, hiburan yang haram, perjudian atau apa-apa amalan yang terlarang, maka harta tersebut bukan sahaja tidak diberkati, bahkan menjadi beban dosa yang akan dipertanggungjawab di hadapan Allah SWT pada hari akhirat kelak.
Dalam pada itu juga, kita mesti menjauhi sikap-sikap seperti malas, culas, suka bertangguh, pergaulan bebas antara lelaki dan perempuan tanpa sebarang urusan dan sebagainya, kerana semua ini bukan sahaja menjejaskan produktiviti, bahkan mencerminkan kelemahan dalam melaksanakan pekerjaan serta pengabaian terhadap amanah yang telah diberikan.
Sepatutnya kita menjadi pekerja yang berdisiplin, beretika dan bertanggungjawab, agar setiap pekerjaan yang kita lakukan dinilai sebagai ibadah di sisi Allah SWT.
Firman Allah SWT dalam Surah al-Taubah ayat 105:

“Dan katakanlah (wahai Muhammad), Beramallah kamu (dengan segala yang diperintahkan). Maka Allah dan Rasul-Nya serta orang yang beriman akan melihat amalan kamu itu dan kamu akan dikembalikan kepada (Allah) Yang Maha Mengetahui sesuatu yang ghaib dan yang nyata lalu, Dia memberitahu kamu apa-apa yang telah kamu lakukan.”
Sidang Jumaat yang dikasihi,
Bersempena dengan Hari Pekerja pada hari ini, mimbar menyeru seluruh warga kerja agar menghargai pekerjaan yang Allah SWT kurniakan kepada kita dengan melaksanakannya secara bersungguh-sungguh dan ikhlas, kerana tidak semua orang mendapat pekerjaan seperti yang kita ada sekarang.
InsyaAllah, dengan niat yang ikhlas dan usaha yang bersungguh-sungguh, setiap pekerjaan akan menjadi ibadah, diberi ganjaran pahala serta membawa keberkatan dalam kehidupan.
Saudaraku yang dirahmati Allah SWT sekalian,
Mengakhiri khutbah pada hari ini, mari sama-sama kita menghayati beberapa pengajaran yang boleh dijadikan pedoman dalam kehidupan seharian kita:
1. Umat Islam hendaklah menjadikan pekerjaan sebagai ibadah dengan membetulkan niat kerana Allah SWT, melaksanakan tugas dengan amanah, jujur dan bersungguh-sungguh, agar setiap usaha dinilai sebagai amal soleh dan mendapat keberkatan.
2. Umat Islam hendaklah memastikan setiap rezeki yang diperoleh datang daripada sumber yang halal serta menjauhi segala bentuk pekerjaan dan amalan yang haram seperti riba, rasuah dan penipuan, kerana matlamat yang baik tidak boleh dicapai melalui cara yang salah.
3. Umat Islam hendaklah berdisiplin dan bertanggungjawab dalam pekerjaan dengan menjauhi sikap malas, culas dan bertangguh, di samping tidak mengabaikan kewajipan asas seperti solat, agar kehidupan seimbang antara tuntutan dunia dan akhirat.

“Dan orang yang menunaikan amanah dan janji mereka. Dan orang yang memelihara solat mereka. Mereka itulah orang yang mewarisi. Yang akan mewarisi syurga Firdaus dan mereka kekal di dalamnya.” (Surah al-Mukminun: 8-11).

Sumber: Jabatan Agama Islam Selangor, 1 Mei 2026 bersamaan 13 Zulkaedah 1447

