Sunday, July 19, 2026

Khutbah Jumaat: Hadapi musibah dengan kesabaran

Mesti Baca

Editor Edisi 9
Editor Edisi 9
Editor Edisi 9

Sidang Jemaah yang dirahmati Allah,

Khatib mengingatkan diri sendiri dan ahli jemaah sekalian agar sentiasa bertakwa kepada Allah SWT dengan beristiqamah mematuhi perintahNya serta menjauhi segala larangan-Nya. 

Semoga dengan ketakwaan, kita beroleh kebahagiaan di dunia dan kejayaan di akhirat kelak.

Pada hari yang berkat ini, mimbar ingin mengupas tajuk yang sangat berkait dengan peristiwa semasa iaitu “Hadapi Musibah Dengan Kesabaran”.

Sidang Jemaah yang dirahmati Allah,

Sesungguhnya Islam ialah agama yang sejahtera. Islam menekankan prinsip kesejahteraan dalam segenap aspek kehidupan. 

Bahkan perkataan Islam itu sendiri adalah daripada perkataan as-salam yang membawa makna sejahtera. 

Kesejahteraan yang dimaksudkan ini merangkumi akidah yang benar, jiwa yang tenang serta hidup yang aman dan selamat.

Atas prinsip inilah, Islam menganjurkan umatnya supaya sentiasa mencintai keamanan serta menggalakkan sesama manusia ke arah menjalani kehidupan yang aman dan damai. 

Inilah antara tujuan Allah SWT mengutuskan Nabi Muhammad SAW, iaitu membawa rahmat ke seluruh alam, sepertimana yang difirmankan Allah di dalam Surah al-Anbiya’ ayat 107 yang dibacakan sebentar tadi yang bermaksud: 

“Dan tiadalah Kami mengutuskan engkau (wahai Muhammad), melainkan untuk menjadi rahmat bagi sekalian alam.”

Sidang Jemaah yang dimuliakan,

Sesungguhnya keamanan bukan sahaja anugerah bahkan keperluan asas dalam Islam yang meliputi pelbagai aspek kehidupan. 

Bukan sahaja bermakna tiada peperangan, tetapi juga kestabilan dalam kehidupan seharian, termasuk dalam aspek sosial, ekonomi dan politik. 

Konflik peperangan yang sedang berlaku di Asia Barat amat memberi kesan kepada kita semua. 

Seharusnya kita memandang serius tentang perkara ini dan membuat perancangan rapi bagi menghadapi sebarang kesan buruk yang berlaku.

Peperangan mencetuskan inflasi dan kenaikan kos sara hidup yang menghimpit semua pihak. 

Krisis global yang meruncing ini telah mengganggu ekosistem bekalan minyak dunia, dan memaksa kerajaan menanggung kos subsidi bahan api yang sangat tinggi.

Ambillah iktibar daripada kebijaksanaan Nabi Yusuf A.S. dalam merancang ekonomi negara.

Allah menceritakan kisah nasihat Nabi Yusuf A.S. kepada sang raja melalui tafsiran mimpi baginda dalam surah Yusuf ayat 47-49:

Maksudnya: “Yusuf menjawab: “Hendaklah kamu menanam bersungguh-sungguh tujuh tahun berturut-turut, kemudian apa yang kamu ketam (tuai) biarkanlah dia pada tangkai-tangkainya; kecuali sedikit dari bahagian yang kamu jadikan untuk makan. 

“Kemudian akan datang selepas tempoh itu, tujuh tahun kemarau yang besar, yang akan menghabiskan makanan yang kamu sediakan baginya; kecuali sedikit dari apa yang kamu simpan (untuk dijadikan benih). 

“Kemudian akan datang pula sesudah itu tahun yang padanya orang ramai beroleh rahmat hujan, dan padanya mereka dapat memerah (hasil anggur, zaitun dan sebagainya).”

Perancangan ekonomi berasaskan wahyu ini bukan sekadar cerita dongeng sebelum tidur, tetapi ia adalah satu pelan kecemasan untuk perancangan kewangan kita pada hari ini.  Ia mendidik kita tentang erti menabung dan mengurus risiko. 

Ia adalah amaran untuk kita mula memotong perbelanjaan yang tidak perlu, mendisiplinkan diri untuk berjimat cermat dan menyimpan

wang ketika waktu kita masih ‘senang’, sebagai payung tempat kita berlindung apabila tibanya waktu sesak kelak.

Sidang Jemaah yang dirahmati Allah,

Selain daripada persiapan material kita juga hendaklah meningkatkan amalan soleh. 

Mudah-mudahan iman kita dapat diteguhkan dan nafsu jahat dapat dijinakkan. Kebergantungan kepada Allah itu pintu keluar kita di waktu kesukaran. 

Memang benar, tatkala dunia sedang bergelora dengan fitnah peperangan dan ekonomi yang meruncing, jiwa kita mungkin berasa penat dan luntur semangat untuk mendekatkan diri kepada Allah. 

Namun, pujuklah hati dengan khabar gembira di dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Imam Muslim daripada Ma’qil bin Yasar, bahawa Rasulullah SAW bersabda;

Maksudnya: “Beribadat di saat-saat huru-hara (dunia kacau-bilau) adalah seperti berhijrah kepadaku”.

Walaupun kita hidup di zaman yang penuh pancaroba, pahala kita menahan sabar dan terus beribadah di waktu kacau-bilau ini disamakan ganjaran dan cabarannya umpama kita berhijrah dari Mekah ke Madinah untuk bersama-sama Rasulullah SAW. 

Oleh itu, berpegang teguhlah pada tali Allah dan teruskanlah beramal soleh.

Muslimin Yang Dimuliakan Allah,

Sebagai iktibar daripada khutbah pada hari ini, khatib simpulkan beberapa perkara seperti berikut;

Pertama: Islam ialah agama damai dan sejahtera yang menganjurkan umatnya supaya sentiasa mencintai keamanan. 

Menjadi tanggungjawab kita mengajak manusia ke arah menjalani kehidupan yang aman dan damai.

Kedua: Uruskan kewangan secara berhemah. Krisis geopolitik ini mencetuskan masalah ekonomi. 

Umat Islam diseru menghentikan sikap membazir dan amalan bermewah. Jadikan perancangan ekonomi Nabi Yusuf sebagai panduan kita.

Ketiga: Marilah kita meneguhkan iman dan memperbanyak amalan. Beribadah pada zaman huru-hara ini menjanjikan pahala umpama berhijrah kepada Rasulullah SAW.

Sesungguhnya pergolakan yang sedang berlaku ini jika dipandang dari sudut positif merupakan ujian buat orang-orang yang beriman. 

Dalam menghadapi suasana yang penuh dengan kekeliruan dan lambakan maklumat, marilah kita menjauhi fitnah serta mengamalkan sikap tabayyun dengan menyelidiki setiap berita sebelum disebarkan agar tidak menjadi punca perpecahan.

Yakinlah janji Allah SWT yang mengubati hati orang-orang beriman dengan perkhabaran yang menggembirakan. 

Firman Allah SWT di dalam surah al Baqarah, ayat 155 hingga 157 :

Maksudnya: “Demi sesungguhnya! Kami akan menguji kamu dengan sedikit perasaan takut (kepada musuh) dan (dengan merasai) kelaparan, dan (dengan berlakunya) kekurangan dari harta benda dan jiwa serta hasil tanaman.

“Dan berilah khabar gembira kepada orang-orang yang sabar. (Iaitu) orang-orang yang apabila mereka ditimpa oleh sesuatu kesusahan, mereka berkata: “Sesungguhnya kami adalah kepunyaan Allah dan kepada Allah jualah kami kembali.”

“Mereka itu ialah orang-orang yang dilimpahi dengan berbagai-bagai kebaikan dari Tuhan mereka serta rahmatNya; dan mereka itulah orang-orang yang dapat petunjuk hidayah-Nya.”


Sumber: Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan, 10 April 2026 bersamaan 21 Syawal 1447.

Terkini

AMH desak menteri, timbalan menteri BN letak jawatan

SEMUA menteri dan timbalan menteri dari Barisan Nasional (BN) didesak meletakkan jawatan masing-masing susulan tindakan parti itu yang secara...

Lagi Artikel Berkaitan