AGENSI Pengangkutan Awam Darat (APAD) membatalkan lesen pengendali sebuah syarikat selepas didapati gagal mematuhi piawaian keselamatan sehingga mengakibatkan kemalangan maut di persimpangan Taman Golden Hill, Gemas Baharu, Segamat, Johor awal bulan ini.
APAD dalam kenyataan berkata, kemalangan yang berlaku pada pukul 3.45 petang, 2 April lalu itu melibatkan sebuah treler yang melanggar kenderaan dinaiki mangsa, mengorbankan tiga individu termasuk sepasang suami isteri, manakala dua lagi cedera parah.
Agensi itu berkata, hasil siasatan pihaknya mendapati syarikat terbabit, MFG Barokah Enterprise (LA) gagal mematuhi Kod Amalan Keselamatan Industri (ICOP) serta memastikan kenderaan diselenggara dengan baik.
Syarikat terbabit juga, jelas APAD, gagal mengawal atau menjaga kelakuan pemandu, mengutamakan keselamatan pengguna yang lain dan mempunyai rekod pemanduan melebihi had kelajuan yang dibenarkan.
“Mesyuarat Jawatankuasa Penggantungan dan Pembatalan Lesen (JPPL) APAD Bilangan 3 Tahun 2026 yang bersidang pada 9 April 2026, telah memutuskan bahawa syarikat MFG Barokah Enterprise (LA) gagal memenuhi syarat lesen yang diperuntukkan di bawah Seksyen 57(1)(b)(viii), Seksyen 58(1)(b) dan Seksyen 58(1)(c) Akta 715.
“Sehubungan itu, selaras dengan kuasa yang diperuntukkan di bawah Seksyen 62 Akta 715, APAD memutuskan untuk membatalkan Lesen Pengendali 202303040540 (LA) (“Lesen Pengendali Berkenaan”) berkuat kuasa pada 10 April 2026,” kata kenyataan itu hari ini.
APAD berkata, dengan pembatalan tersebut, syarikat berkenaan tidak lagi dibenarkan mengendalikan atau menyediakan sebarang perkhidmatan menggunakan kenderaan di bawah lesen tersebut.
Dalam pada itu, APAD menegaskan semua pengendali berlesen perlu mematuhi sepenuhnya syarat yang ditetapkan bagi mengelakkan tindakan tegas termasuk pembatalan lesen.
“APAD kekal komited memastikan sistem pengangkutan awam darat yang holistik, cekap, selamat dan berdaya saing demi kesejahteraan rakyat selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI,” katanya.
Dalam kejadian itu, tiga individu termasuk sepasang suami isteri maut, manakala dua lagi cedera selepas sebuah treler melanggar bahagian belakang van dinaiki mangsa.
Pada Selasa lepas, pemandu treler yang terlibat dalam kemalangan itu turut didakwa di Mahkamah Majistret Segamat. — Edisi 9

