AGENSI Pengangkutan Awam Darat (APAD) mengambil tindakan tegas membatalkan lesen syarikat lori yang terbabit dalam kemalangan maut di Plaza Tol Bukit Kajang, Lebuh Raya Kajang Silk (SILK) pada minggu lalu.
Menurut APAD, pembatalan lesen pengendali LDT Metal Trading yang berkuat kuasa mulai hari ini dibuat berdasarkan peruntukan di bawah Seksyen 62 Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 [Akta 715].
“Hasil siasatan agensi itu mendapati LDT Metal Trading telah gagal dalam memastikan pemasangan Sistem Kedudukan Sejagat (GPS) pada kenderaan perdagangan yang dilesenkan dan tidak mengutamakan keselamatan pengguna jalan raya yang lain,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Dalam kejadian 27 September lalu, sebuah lori muatan barangan lusuh telah merempuh empat kenderaan lain di Plaza Tol Bukit Kajang, Lebuh Raya SILK yang mengorbankan seorang bayi dan mencederakan tujuh yang lain.
APAD berkata, dengan terbatalnya lesen pengendali berkenaan, syarikat terbabit tidak dibenarkan mengendali atau mengadakan sebarang perkhidmatan menggunakan mana-mana kenderaan yang telah dilesenkan di bawah Lesen Pengendali Berkenaan.
“APAD bertegas tidak akan berkompromi terhadap mana-mana kesalahan
pemanduan kenderaan pengangkutan awam darat secara berbahaya yang
boleh mengakibatkan kemalangan dan mengancam keselamatan pengguna
jalan raya,”katanya.
Agensi itu juga mengingatkan semua pengendali berlesen untuk sentiasa
mematuhi syarat-syarat lesen yang ditetapkan bagi mengelakkan kejadian
yang boleh mengakibatkan lesen pengendali (OL) terbatal. – Edisi 9

