MALAYSIA mengecam sekeras-kerasnya tindakan ganas dan tidak berperikemanusiaan rejim Israel terhadap misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF) yang dalam misi bantuan kemanusiaan ke Gaza hari ini.
Wisma Putra dalam kenyataan menegaskan, tindakan tanpa provokasi itu disifatkan sebagai pencabulan nyata terhadap undang-undang antarabangsa, termasuk undang-undang maritim, hak asasi manusia serta undang-undang kemanusiaan antarabangsa.
Malaysia turut menuntut pembebasan serta-merta dan tanpa syarat ke atas semua aktivis, petugas kemanusiaan serta anak kapal flotilla berkenaan, termasuk 12 rakyat Malaysia, selain pembebasan kapal-kapal yang ditahan bagi memastikan bantuan kemanusiaan ke Gaza dapat diteruskan tanpa sebarang halangan.
“Global Sumud Flotilla merupakan inisiatif kemanusiaan yang sah dan aman untuk menyampaikan bantuan mendesak ke Gaza ketika rakyat Palestin sedang berhadapan dengan genosid, kebuluran dan krisis kesihatan yang meruncing,” kata kenyataan itu hari ini.
Malaysia dalam masa sama menggesa Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan masyarakat antarabangsa mengambil tindakan tegas bagi menghentikan tindakan rejim Zionis yang terus bebas daripada sebarang hukuman.
Wisma Putra berkata, masyarakat antarabangsa tidak boleh lagi bertolak ansur dengan pengabaian terang-terangan Israel terhadap norma dan prinsip sejagat.
Malaysia menegaskan pendiriannya untuk terus menyokong usaha murni bagi mencapai penyelesaian adil, menyeluruh dan berkekalan termasuk penubuhan sebuah Negara Palestin yang merdeka dan berdaulat berasaskan persempadanan pra-1967 dengan Baitulmaqdis Timur sebagai ibu negara. – Edisi 9

