Monday, July 20, 2026

Sultan Selangor cadang 23 aktivis GSF bukukan pengalaman

Walaupun bantuan kemanusian kali ini tidak dapat disalurkan kepada rakyat Gaza, baginda  berharap usaha-usaha yang dilakukan oleh GSF akan terus membuka mata dunia.

Mesti Baca

SULTAN Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan mencadangkan agar 23 aktivis sukarelawan Global Sumud Flotilla (GSF) menggabungkan pengalaman perjalanan mereka di dalam sebuah buku.

Titah baginda, ini terutama pengalaman ketika berada dalam tahanan rejim Zionis Israel.

“Sebagai rujukan dan pedoman kepada rakyat Malaysia, baginda berkenan untuk mencadangkan kepada 23 aktivis sukarelawan terlibat agar menulis dan menggabungkan pengalaman perjalanan mereka di dalam sebuah buku, khususnya pengalaman ketika dalam tahanan rejim Zionis,” lapor Selangor Royal Office (SRO) menerusi Facebooknya hari ini.

Sultan Sharafuddin bertitah, walaupun bantuan kemanusian kali ini tidak dapat disalurkan kepada rakyat Gaza, baginda  berharap usaha-usaha yang dilakukan oleh GSF akan terus membuka mata dunia.

Selain itu, usaha tersebut turut menyedarkan semua pihak mengenai penindasan dan kekejaman sebenar yang dilakukan oleh rejim Zionis Israel ke atas rakyat Gaza.

Kesemua 23 aktivis GSF Malaysia sebelum pulang ke tanah air semalam.

Sebelum itu, baginda berkenan menzahirkan kesyukuran ke hadrat Allah dengan kembalinya ke tanah air dengan selamat, 23 aktivis GSF dari Malaysia.

Pelayaran mereka itu bertujuan menghantar bantuan kemanusiaan seperti makanan dan keperluan harian kepada rakyat Gaza.

“Baginda telah mengikuti rapat perkembangan gerakan flotila ini, dan prihatin dengan nasib yang menimpa mereka apabila ditahan oleh rejim Zionis Israel di perairan antarabangsa semasa menuju ke Gaza,” kata SRO.

Sultan Sharafuddin juga amat menghargai dan kagum dengan usaha serta kesungguhan yang ditunjukkan oleh 23 aktivis Malaysia yang terlibat, serta kesemua misi sukarela yang dikendalikan oleh GSF, demi membantu rakyat Palestin yang masih ditindas oleh rejim Zionis.

Baginda turut berterima kasih kepada l Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang berjaya menguruskan  pembebasan kesemua aktivis dari Malaysia dengan segera, hasil kerjasama Kerajaan Turkiye. – Edisi 9

Terkini

AMH desak menteri, timbalan menteri BN letak jawatan

SEMUA menteri dan timbalan menteri dari Barisan Nasional (BN) didesak meletakkan jawatan masing-masing susulan tindakan parti itu yang secara...

Lagi Artikel Berkaitan