PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menzahirkan penghargaan atas keberanian, kecekalan dan pengorbanan para aktivis dan sukarelawan flotila Malaysia yang menyertai misi Global Sumud Flotilla (GSF).
Menurut Anwar, mereka yang baharu dibebaskan daripada tahanan rejim Zionis Israel dan kini sedang berada di Istanbul, Turkiye itu adalah lambang keberanian rakyat Malaysia.
Beliau turut bersyukur kerana kesemua 34 aktivis dan sukarelawan GSF yang mewakili Sumud Nusantara itu berada dalam keadaan baik dan masih bersemangat kental.
“Alhamdulillah, semuanya berada dalam keadaan baik dan semangat mereka masih kental.
“Saya menzahirkan penghargaan atas keberanian, kecekalan dan pengorbanan mereka dalam memperjuangkan nasib rakyat Gaza yang terus dizalimi.
“Mereka adalah lambang keberanian rakyat Malaysia yang menjunjung nilai kemanusiaan tanpa mengenal sempadan,” katanya menerusi media sosial hari ini.
Beliau berkata demikian selepas berinteraksi dengan delegasi Malaysia terbabit yang kini berada di Istanbul sebulan pulang ke tanah air.
Semalam, seramai 137 daripada 462 aktivis dan sukarelawan GSF dari beberapa buah negara termasuk Malaysia yang ditahan rejim Zionis itu telah dibebaskan atas bantuan kerajaan Turkiye.
Kesediaan kerajaan Turkiye untuk membantu mengeluarkan peserta Malaysia hasil hubungan akrab antara Anwar dan Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdoğan.
Semalam, mereka selamat tiba di Istanbul kira-kira pukul 8.40 malam waktu Malaysia dan disambut wakil Kedutaan Besar Malaysia di Türkiye dengan kerjasama Wisma Putra dan Kerajaan Türkiye.
Sementara itu Anwar berkata, beliau sendiri akan menyambut kepulangan wira-wira itu sejurus tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) kelak.
“Kita juga akan menganjurkan satu himpunan khas bagi meraikan kepulangan para wira dan wirawati kemanusiaan ini, selain terus menyemarakkan solidariti rakyat Malaysia bersama saudara-saudara kita di Gaza,” katanya. — Edisi 9

