KESEMUA 23 aktivisi kemanusiaan rakyat Malaysia yang ditahan oleh rejim Zionis ketika menyertai misi Global Sumud Flotilla (GSF) selamat tiba di Istanbul, Türkiye, kira-kira pukul 8.40 malam ini waktu Malaysia.
Ketibaan mereka disambut wakil Kedutaan Besar Malaysia di Türkiye dengan kerjasama Wisma Putra dan Kerajaan Türkiye yang memastikan semua urusan pelepasan serta kebajikan mereka berjalan lancar.
Menurut Ketua Pengarah Sumud Nusantara Command Centre (SNCC), Datuk Sani Araby Abdul Alim Araby, kesemua aktivis berada dalam keadaan baik dan stabil selepas melalui proses tahanan yang panjang.
Beliau turut memaklumkan bahawa mereka akan bermalam di Istanbul atas jemputan rasmi kerajaan Türkiye sebelum dijadualkan pulang ke tanah air menerusi penerbangan Turkish Airlines.
“Kami amat menghargai setiap doa, kata semangat, dan sokongan rakyat Malaysia yang menjadi kekuatan utama buat para aktivis,” katanya menerusi media sosial sebentar tadi.
Kesemua aktivis GSF rakyat Malaysia itu dibebaskan dan dibawa keluar dari Israel hasil usaha Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang telah mengadakan perbincangan diplomatik dengan Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdoğan.
Kesemua mereka kini akan diberikan pemeriksaan kesihatan, sokongan dan bantuan menyeluruh termasuk aspek psikologi.
“Jentera kerajaan di bawah kendalian Kementerian Luar Negeri di Istanbul akan memastikan kelancaran proses membawa mereka kembali ke bumi Malaysia dalam masa terdekat,” kata Anwar.
Beliau berharap semua urusan perjalanan pulang anak-anak Malaysia ini dipermudah dan dilindungi Allah SWT. — Edisi 9

