Sunday, July 19, 2026

Dua kapal baharu DOF perkukuh penguatkuasaan perikanan

Dengan adanya KP Manta dan KP Layaran, keupayaan DOF untuk melindungi sumber marin dan menjamin keterjaminan makanan negara dapat dipertingkatkan.

Mesti Baca

DUA kapal peronda baharu yang diterima Jabatan Perikanan (DOF) dijangka dapat memperkukuhkan lagi penguatkuasaan undang-undang perikanan melalui program pemantauan, kawalan dan pengawasan (MCS).

Ketua Pengarah Perikanan, Datuk  Adnan Hussain kedua-dua kapal peronda tersebut dinamakan Kapal Perikanan (KP) Manta dan KP Layaran.

Beliau berkata, penambahan aset maritim ini adalah bukti komitmen berterusan Kerajaan untuk memperkasakan DOF dalam memastikan sumber perikanan negara sentiasa terpelihara.

“Kedua-dua kapal peronda ini akan meningkatkan keberkesanan operasi rondaan dan pengawasan, membanteras aktiviti penangkapan ikan secara tidak sah, tidak dilaporkan dan tidak terkawal (IUU fishing), selain berfungsi sebagai aset sokongan operasi mencari dan menyelamat (SAR) sekiranya berlaku kecemasan di laut,” katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis penyerahan dua kapal terbabit di limbungan kapal Sarawak Slipways Sdn. Bhd., Miri, Sarawak hari ini.

Adnan berkata, dengan adanya KP Manta dan KP Layaran, keupayaan DOF untuk melindungi sumber marin dan menjamin keterjaminan makanan negara dapat dipertingkatkan.

Kapal peronda baharu itu dibina dengan kos keseluruhan RM13.88 juta, berukuran 17.95 meter panjang dan 5.20 meter lebar, dilengkapi dua enjin berkuasa tinggi (2 x 1200 kuasa kuda) yang membolehkan kelajuan sehingga 20 knot, serta berupaya menampung seramai lapan kru bagi setiap operasi.

Kedua-dua kapal ini juga memperkenalkan identiti baharu kapal penguatkuasaan DOF yang berwarna putih, merah dan biru, menggantikan warna kelabu sebelum ini. 

“Perubahan imej ini menzahirkan aspirasi baharu Jabatan dalam memperkukuh aktiviti konservasi dan penguatkuasaan perikanan negara,” kata Adnan.

KP Manta akan ditempatkan di Pangkalan Konservasi dan Perlindungan Perikanan (PKOPP) Langkawi, manakala KP Layaran akan beroperasi dari PKOPP Kuantan.

Kedua-duanya dijadual berlayar ke destinasi masing-masing pada 5 Oktober 2025.

Adnan turut merakamkan penghargaan kepada Kementerian Ekonomi atas sokongan peruntukan di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12).

“Penyerahan itu  menandakan langkah penting ke arah memperkukuh keberkesanan Program MCS serta usaha Malaysia menentang IUU fishing, sejajar dengan pindaan Akta Perikanan 1985 (Pindaan 2025). 

“Ia turut memperlihatkan sokongan penuh Kerajaan dalam menjaga sekuriti makanan negara melalui kelestarian sumber marin,” katanya. — Edisi 9

Terkini

Exco Johor: Enam kekal portfolio, empat lantikan baharu

SERAMAI 10 Ahli Majlis Mesyuarat (Exco) Kerajaan Negeri Johor bagi penggal 2026-2031 hari ini mengangkat sumpah jawatan masing-masing hari...

Lagi Artikel Berkaitan