Sunday, July 19, 2026

Syor EAIC: DOF batal lesen 40 vesel perikanan di Johor

Selain tindakan pembatalan lesen, tindakan susulan berkaitan integriti dan ketidakpatuhan prosedur turut dipertingkatkan. 

Mesti Baca

JABATAN Perikanan Malaysia (DOF) telah membatalkan pendaftaran lesen bagi 40 vesel penangkapan ikan di Johor sepertimana diputuskan oleh Mesyuarat Khas Penilaian Teknikal Vesel Penangkapan Ikan Zon C dan Zon C2 pada 7 Julai lalu. 

Menurut DOF, langkah tegas tersebut selaras dengan syor Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) agar mempertimbangkan pembatalan lesen vesel yang diperoleh melalui prosedur yang tidak teratur.

Menurut DOF, pihaknya mengambil maklum dan memandang serius EAIC semalam berhubung kelulusan 54 lesen perikanan kepada dua buah syarikat di beberapa negeri. 

“DOF menegaskan bahawa integriti, pematuhan prosedur dan dasar pelesenan merupakan asas utama tadbir urus jabatan, dan tidak akan berkompromi dengan sebarang bentuk salah laku, ketidakpatuhan atau unsur jenayah termasuk pemalsuan dokumen,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Semalam, EAIC mendedahkan terdapat para pegawai DOF di ibu pejabat serta lima negeri yang terbabit dalam kelulusan 54 lesen perikanan kepada dua syarikat yang dibuat secara ketidakpatuhan terhadap prosedur dan dasar pelesenan DOF.

Malahan suruhanjaya itu juga mendedahkan wujud jenayah pemalsuan atau penggunaan dokumen palsu dalam proses permohonan tersebut.

Sehubungan itu, EAIC mengesyorkan mereka yang terbabit dirujuk kepada Pihak Berkuasa Tatatertib DOF serta Jabatan Peguam Negara.

DOF berkata, selain tindakan pembatalan lesen, tindakan susulan berkaitan integriti dan ketidakpatuhan prosedur turut dipertingkatkan. 

“Hasil siasatan telah dirujuk kepada Pihak Berkuasa Tatatertib DOF untuk tindakan selanjutnya terhadap pegawai yang terlibat. 

“Syor tindakan tatatertib akan dipertimbangkan ke atas pegawai yang melakukan kesalahan tidak bertanggungjawab, ingkar perintah, dan cuai dalam melaksanakan tugas menurut peraturan semasa,” katanya.

DOF juga komited, jelas kenyataan itu, melaksanakan semua syor penambahbaikan tadbir urus yang dikemukakan oleh EAIC. 

Katanya, ini termasuk menyediakan garis panduan permohonan ubah suai vesel melebihi 20 peratus; menambah baik sistem pengurusan fail di Pejabat Perikanan Negeri; menetapkan had lesen perikanan atau vesel bagi setiap syarikat; dan menambah baik sistem e-Lesen.

“Segala langkah ini bertujuan memastikan proses pelesenan perikanan dilaksanakan dengan penuh integriti, telus dan mematuhi undang-undang, demi melindungi industri perikanan negara serta menjamin kelestarian sumber marin,” katanya. — Edisi 9

Terkini

Exco Johor: Enam kekal portfolio, empat lantikan baharu

SERAMAI 10 Ahli Majlis Mesyuarat (Exco) Kerajaan Negeri Johor bagi penggal 2026-2031 hari ini mengangkat sumpah jawatan masing-masing hari...

Lagi Artikel Berkaitan