Sunday, July 19, 2026

Lebih 18,000 mangsa banjir ditempatkan di PPS seluruh negara

Kelantan kekal mencatatkan jumlah mangsa tertinggi iaitu seramai 9,720 orang membabitkan empat daerah.

Mesti Baca

SERAMAI 18,757 mangsa banjir melibatkan lapan negeri ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) sehingga pukul 1 petang ini, berbanding 15,000 orang pada tengah malam tadi.

Menurut Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Kelantan kekal mencatatkan jumlah mangsa tertinggi iaitu seramai 9,720 orang membabitkan empat daerah.

Tumpat merekodkan jumlah teramai dengan 5,058 orang di 13 PPS diikuti Kota Bharu (2,625), Bachok (1,897) dan Pasir Puteh seramai 143 orang.

Di Perak, jumlah mangsa meningkat kepada 2,956 orang di tujuh daerah iaitu Manjung, Perak Tengah, Bagan Datuk, Hilir Perak, Muallim, Batang Padang serta Larut, Matang dan Selama.

Jumlah mangsa banjir di Selangor juga bertambah kepada 2,746 orang ditempatkan di 21 PPS, melibatkan Kuala Selangor, Shah Alam, Klang, Hulu Langat dan Sabak Bernam.

Di Perlis, seramai 1,400 mangsa ditempatkan di 13 PPS manakala di Kedah pula, seramai 1,620 orang dipindahkan ke 14 PPS membabitkan daerah Kubang Pasu dan Kulim.

Sementara itu, Pahang turut membuka dua PPS membabitkan 42 mangsa membabitkan daerah Raub dan Lipis sementara mangsa di Terengganu berkurangan kepada lapan orang.

Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) lewat malam tadi mengeluarkan amaran hujan berterusan yang sangat lebat dan berbahaya membabitkan kawasan utara Semenanjung sehingga 26 November.

Kawasan terlibat ialah di Perlis; Kedah (Langkawi, Kubang Pasu, Kota Setar, Pokok Sena, Padang Terap, Yan, Pendang dan Sik); Kelantan (Tumpat, Pasir Mas, Kota Bharu, Tanah Merah, Bachok, Machang dan Pasir Puteh) dan di Besut, Terengganu.

Manakala daerah-daerah lain di Kedah, Kelantan dan Terengganu serta sebahagian di negeri-negeri Pulau Pinang dan Perak pula diberikan amaran tahap buruk untuk tempoh yang sama. – Edisi 9

Terkini

Exco Johor: Enam kekal portfolio, empat lantikan baharu

SERAMAI 10 Ahli Majlis Mesyuarat (Exco) Kerajaan Negeri Johor bagi penggal 2026-2031 hari ini mengangkat sumpah jawatan masing-masing hari...

Lagi Artikel Berkaitan