KERAJAAN Negeri Selangor akan menyampaikan bantuan sebanyak RM500 kepada setiap 750 keluarga mangsa banjir yang kini ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) di negeri itu.
Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, sehingga pukul 11.30 pagi ini, seramai 2,784 mangsa telah ditempatkan di 21 PPS melibatkan lima daerah di Selangor.
“Faktor utama peningkatan paras air di kawasan-kawasan adalah taburan hujan yang melebihi jangkaan dan turt memberi kesan melibatkan lapan negeri seluruh negara,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sebelum itu, Amirudin mempengerusikan Mesyuarat Khas Exco Kerajaan Negeri susulan kejadian banjir yang melanda daerah Sabak Bernam, Kuala Selangor, Hulu Langat, Petaling dan Klang.
Beliau berkata, daripada jumlah mangsa tersebut, seramai 221 orang merupakan pelajar yang mengambil peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang bermula hari ini.
Katanya, bagi memudahkan urusan pergi dan pulang ke pusat peperiksaan masing-masing, Pejabat-pejabat Daerh akan menyediakan pengangkutan percuma dari PPS ke sekolah.
Tambahan kepada itu, kata Amirudin, Yayasan MBI akan menyalurkan bantuan segera kepada para pelajar yang kehilangan peralatan menulis dan digital akibat banjir.
Jelas beliau, ini agar urusan peperiksaan para pelajar terbabit dapat diteruskan dengan lebih selesa.
“Saya juga mengarahkan agar usaha tebatan banjir di beberapa kawasan tumpuan dipercepatkan,” katanya sambil menambah usaha tersebut akan dipantau dan diperincikan oleh Exco Kemajuan Infrastruktur Selangor, Datuk Izham Hashim. – Edisi 9

