Sunday, July 19, 2026

Banjir seluruh negara makin buruk, lebih 15,000 dipindahkan

Satu PPS dibuka di Kuala Lumpur menjadikan sembilan negeri kini terjejas akibat bencana tersebut setakat ini.

Mesti Baca

KEADAAN banjir yang melanda beberapa negeri terus bertambah buruk apabila jumlah mangsa meningkat kepada 15,176 orang setakat pukul 7.30 petang ini.

Berdasarkan laporan Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), satu pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka di Kuala Lumpur menjadikan sembilan negeri kini terjejas akibat bencana tersebut.

Bagaimanapun, belum ada mangsa banjir yang ditempatkan di PPS tersebut setakat ini.

Sementara itu, Kelantan kekal merekodkan jumlah mangsa tertinggi dengan 9,830 orang yang ditempatkan di 40 PPS. Daerah yang terjejas meliputi Tumpat, Bachok, Kota Bharu dan Pasir Puteh.

Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kelantan memaklumkan situasi masih terkawal namun pemantauan rapi diteruskan susulan ramalan hujan berterusan.

Perak menjadi negeri kedua paling terjejas dengan 1,907 mangsa berlindung di 20 PPS melibatkan kawasan Perak Tengah, Manjung, Hilir Perak serta Larut, Matang dan Selama.

Sementara itu, Terengganu pula merekodkan 135 mangsa dengan satu PPS beroperasi di Besut, manakala Kedah mencatatkan 582 mangsa di tiga PPS di Kulim dan enam PPS di Kubang Pasu.

Di Perlis, tiga daerah terjejas iaitu Arau, Padang Besar dan Kangar dengan 874 mangsa ditempatkan di 10 PPS.

Pulau Pinang pula melaporkan 385 mangsa di empat PPS melibatkan Seberang Perai Utara dan Seberang Perai Tengah.

Sementara itu, Selangor mencatatkan peningkatan dengan 1,485 mangsa daripada 402 keluarga yang berada di 13 PPS di Sabak Bernam, Kuala Selangor, Klang, Hulu Langat, Shah Alam dan Klang.

Manakala Sarawak mencatatkan 32 mangsa melibatkan tujuh keluarga di satu PPS di Miri.

Pihak berkuasa mengingatkan penduduk di kawasan berisiko supaya terus mematuhi arahan pemindahan bagi mengelakkan risiko keselamatan serta tidak melakukan aktiviti di sungai atau kawasan yang berpotensi dinaiki air secara mendadak.

Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) turut menasihatkan orang ramai agar sentiasa mengikuti perkembangan cuaca dan paras air sungai, menyediakan keperluan asas sebagai persiapan awal serta mengutamakan keselamatan keluarga sekiranya diarahkan berpindah.

Terkini

Exco Johor: Enam kekal portfolio, empat lantikan baharu

SERAMAI 10 Ahli Majlis Mesyuarat (Exco) Kerajaan Negeri Johor bagi penggal 2026-2031 hari ini mengangkat sumpah jawatan masing-masing hari...

Lagi Artikel Berkaitan