SURUHANJAYA Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) mengesyorkan tindakan tatatertib terhadap pegawai RELA susulan penemuan kecuaian dalam pengendalian latihan senjata api di Pusat Latihan RELA Wilayah Utara (PLRWU) pada 15 November 2024.
EAIC dalam satu kenyataan berkata, siasatan dijalankan susulan dua aduan utama iaitu kecuaian yang mengakibatkan kecederaan seorang peserta Kursus Asas Induksi Pegawai RELA serta dakwaan latihan berkenaan tidak mematuhi peruntukan undang-undang.
Menurut EAIC, hasil siasatan dijalankan selaras Subseksyen 27(4) Akta Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan 2009 [Akta 700] mendapati berlaku kecuaian oleh pegawai RELA yang bertugas sebagai Pegawai Lapang Sasar dan Pegawai Tapak semasa latihan senjata api tersebut dijalankan.
“Pihak pengurusan PLRWU tidak mengemukakan laporan polis dan laporan rasmi kepada Ibu Pejabat RELA berhubung insiden tersebut.
“Berlaku ketidakpatuhan terhadap Syarat Kelulusan Lesen/Permit Sementara Senjata Api yang dikeluarkan oleh pihak Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah semasa latihan tersebut dijalankan, yang mensyaratkan setiap penembak dibantu oleh pegawai Polis Diraja Malaysia (PDRM),” kata kenyataan itu hari ini.
Sehubungan itu, EAIC memutuskan untuk merujuk hasil siasatan kepada Pihak Berkuasa Tatatertib RELA dengan syor tindakan tatatertib terhadap pegawai terlibat atas kesalahan cuai dalam menjalankan tugas di bawah Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) (Pindaan) 2002 [P.U.(A) 246].
Dalam masa sama, EAIC turut mengesyorkan supaya pemurnian dan semakan semula semua prosedur operasi standard (SOP) berkaitan pengendalian serta latihan senjata api oleh RELA dilaksanakan bagi memastikan ia sejajar dengan peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa. — Edisi 9

