Sunday, July 19, 2026

Hanafiah tidak wajib letak jawatan – MB Terengganu

Semua pihak digesa tidak membuat sebarang spekulasi atau penilaian awal sehingga menjejaskan proses undang-undang yang sedang berjalan.

Mesti Baca

PENGERUSI Jawatankuasa Infrastruktur, Utiliti dan Pembangunan Luar Bandar Terengganu, Datuk Hanafiah Mat tidak diwajibkan meletakkan jawatan di sebalik siasatan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadapnya ketika ini.

Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, ini kerana beliau sebagai Exco kerajaan negeri tidak menjejaskan proses pendakwaan dan perbicaraan.

Sehubungan itu beliau menggesa semua pihak agar tidak membuat sebarang spekulasi atau penilaian awal sehingga menjejaskan proses undang-undang yang sedang berjalan.

“Saya mengambil maklum isu seorang Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) yang kini berada di peringkat pendakwaan dan perbicaraan. 

“Kerajaan Negeri komited menjaga integriti dan menghormati sepenuhnya proses undang-undang yang sedang berjalan.

“Seseorang tidak boleh dianggap bersalah sehingga dibuktikan di mahkamah. 

“Semua pihak diminta tidak membuat spekulasi atau sebarang penilaian awal yang boleh menjejaskan proses keadilan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Memetik laporan media, Hanafiah, 66, dihadapkan di Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu atas dua pertuduhan menyalahgunakan kedudukan bagi kepentingan dua anak kandungnya.

Bagaimanapun tertuduh yang juga ADUN Chukai, Kemaman mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan ke atasnya dibacakan di hadapan Hakim Azman Mustapha

Mengikut pertuduhan pertama, Hanafiah didakwa menggunakan kedudukannya sebagai pegawai badan awam iaitu Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri dan Pengerusi Pangkalan Bekalan Kemaman Sdn Bhd (PBKSB) untuk mendapatkan suapan bagi anak kandungnya, Mohd Najmi Hanafiah.

Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa melakukan kesalahan serupa untuk mendapatkan suapan bagi seorang lagi anak kandungnya, Ahmad Kamil Hanafiah pada 18 Jun 2020 di lokasi yang sama.

Sementara itu Ahmad Samsuri yang baru dilantik sebagai Pengerusi Perikatan Nasional (PN) berkata, kerajaan negeri komited menjaga integriti dan menghormati sepenuhnya proses undang-undang yang sedang berjalan.

Beliau menyeru semua pihak agar bertenang dan memberi ruang kepada sistem perundangan menjalankan tugasnya secara profesional.

“Semoga kita semua terus dipandu dalam melaksanakan amanah ini,” katanya. — Edisi 9

Terkini

AMH desak menteri, timbalan menteri BN letak jawatan

SEMUA menteri dan timbalan menteri dari Barisan Nasional (BN) didesak meletakkan jawatan masing-masing susulan tindakan parti itu yang secara...

Lagi Artikel Berkaitan