ANGIN tidak ribut pun tidak tiba-tiba hari ini kita dikejutkan dengan berita peletakan jawatan Naib Presiden Pas, Datuk Seri Ahmad Samsuri Mokhtar sebagai Bendahari Agung Perikatan Nasional (PN).
Pengumuman peletakan jawatan itu dibuat lidah rasmi Pas, Harakahdaily yang memetik kenyataan ringkas Menteri Besar Terengganu itu kepada barisan kepimpinan Pas Pusat.
Dalam kenyataan tersebut, Ahmad Samsuri yang juga Ahli Parlimen Kemaman berkata, beliau telah menyerahkan surat peletakan jawatannya kepada pengurusan PN.
“Assalamualaikum kepada semua sahabat, saya ingin memaklumkan kepada semua bahawa saya, Ahmad Samsuri bin Mokhtar telah menghantar surat peletakan jawatan sebagai Bendahari Agung PN pada hari ini, Rabu, 11 Disember 2024. Sekian. Harap maklum,” katanya dalam mesej ringkas kepada portal terbabit.
Sehingga kini, tiada sebarang kenyataan dikeluarkan pucuk pimpinan PN berhubung keputusan Ahmad Samsuri itu.
Ahmad Samsuri merupakan pemimpin berprofil tinggi dalam kepimpinan Pas yang juga antara parti komponen dalam PN.
Justeru, tindakan yang diambil beliau disifatkan sebagai sesuatu yang mengejutkan sehingga mencetuskan pelbagai spekulasi.
Antaranya timbul persoalan tentang hubungan Bersatu dan Pas sama ada wujud keretakan antara kedua-dua parti komponen PN tersebut.
Pas sebelum ini telah mewar-warkan bahawa Ahmad Samsuri sebagai Perdana Menteri Ke-11 sekiranya PN menang dalam Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRN-16) dan perkara itu tidak disenangi oleh rakan sekutunya, Gerakan.
Bersatu walaupun tidak mengeluarkan sebarang kenyataan balas berhubung cadangan tersebut namun difahamkan beberapa pemimpin mereka tidak begitu senang dengan tindakan Pas tersebut.
Sebagaimana Gerakan, Bersatu juga berharap pemimpin tertinggi mereka, Tan Sri Muhyiddin Yassin kembali menerajui negara sekiranya berjaya merampas Putrajaya dalam PRU-16 nanti.
Apa pun kita tunggu apakah ‘game-plan’ Pas dalam PN berikutan peletakan jawatan Ahmad Samsuri tersebut. – Edisi 9