Sunday, July 19, 2026

Pas ambil alih jawatan Ketua Pembangkang – Samsuri

Bagaimanapun nama Ahli Parlimen berkenaan hanya akan diumumkan sebelum akhir bulan ini - Pengerusi PN

Mesti Baca

MAJLIS Tertinggi Perikatan Nasional (PN) yang bermesyuarat hari ini memutuskan jawatan Ketua Pembangkang akan dipegang oleh seorang Ahli Parlimen daripada Pas.

Pengerusi PN, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar bagaimanapun berkata, nama Ahli Parlimen berkenaan hanya akan diumumkan sebelum akhir bulan ini.

Beliau yang kali pertama mempengerusikan mesyuarat MT PN sejak dilantik bulan lalu berkata, Ahli Parlimen Larut, Datuk Seri Hamzah Zainuddin akan kekal sebagai Ketua Pembangkang sehingga pelantikan baharu diluluskan.

Beliau berkata, agenda utama mesyuarat pertama PN itu bagi tahun ini adalah pemilihan dan pelantikan pegawai-pegawai parti berdasarkan Fasal 8.2 dan Fasal 8.3, Perlembagaan PN.

Di bawah lantikan baharu itu, tiga pemimpin tertinggi parti komponen dilantik sebagai Timbalan Pengerusi PN.

Mesyuarat pertama Perikatan Nasional dipengerusikan oleh Dr Ahmad Samsuri Mokhtar dihadiri semua pimpinan tertinggi parti komponen di Menara PGRM Kuala Lumpur hari ini.

Mereka ialah Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin; Presiden Gerakan, Datuk Dr Dominic Lau dan Presiden MIPP, Punithan Paramsiven serta Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man.

Naib Presiden Bersatu, Datuk Dr Radzi Jidin pula dinamakan sebagai Ketua Pengarah Pilihan Raya mengambil alih tugas Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor yang dilantik sebagai Bendahari Agung PN manakala Tan Sri Annuar Musa sebagai Ketua Penerangan yang baharu.

“Pelantikan Pengerusi Badan Perhubungan Negeri PN ditangguhkan ke mesyuarat akan datang setelah lawatan kerja dilakukan oleh Pengerusi PN ke semua negeri-negeri selepas Hari Raya Aidilfitri nanti,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Ahmad Samsuri yang juga Naib Presiden Pas berkata, mesyuarat yang dihadiri semua ahli MT PN turut membincangkan mengenai persiapan bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka yang dijangka diadakan tidak lama lagi.

Berikut senarai pegawai-pegawai PN:

  1. Pengerusi – Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar
  2. Timbalan Pengerusi
    • Tan Sri Muhyiddin Yasin
    • Datuk Dr. Dominic Lau,
    • Punithan Paramsiven
    • Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man
  3. Setiausaha Agung – Datuk Seri Takiyuddin Hassan
  4. Timbalan Setiausaha Agung
    • Datuk Seri Mohamed Azmin Ali
    • Wong Chia Zhen
    • Datuk K. Sivakumar.
  5. Ketua Penerangan – Tan Sri Annuar Musa
  6. Ketua Pengarah Pilihan Raya – Datuk Dr. Mohd Radzi Jidin
  7. Bendahari Agung – Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor
  8. Ketua Wanita – Datuk Nolee Ashilin Mohammed Radzi
  9. Ketua Pemuda –  Afnan Hamimi Taib Azamuddeen
  10. Pegawai Awam – Zaidy Abdul Talib

— Edisi 9

Terkini

Exco Johor: Enam kekal portfolio, empat lantikan baharu

SERAMAI 10 Ahli Majlis Mesyuarat (Exco) Kerajaan Negeri Johor bagi penggal 2026-2031 hari ini mengangkat sumpah jawatan masing-masing hari...

Lagi Artikel Berkaitan