Monday, July 20, 2026

DBKL bertindak! Lima pusat urut ditutup serta-merta

Mesti Baca

DEWAN Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menutup serta-merta lima premis pusat urut dalam Operasi Bersepadu Tebah (Premis Pusat Urut) yang dijalankan bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM) di sekitar Jalan Langkawi dan Platinum Walk Danau Kota, malam tadi.

DBKL dalam satu kenyataan memaklumkan, operasi siri 1/2026 itu dijalankan dengan pemeriksaan dilakukan ke atas enam premis perniagaan melibatkan pusat urut refleksologi, salon dan pusat kecantikan.

Menurutnya, hasil pemeriksaan mendapati beberapa premis beroperasi tanpa lesen serta melanggar syarat lesen yang dikeluarkan pihak berkuasa tempatan.

“DBKL mengambil tindakan menutup serta-merta lima pusat urut dan mengeluarkan lima notis kompaun atas kesalahan beroperasi tanpa lesen serta menggajikan pekerja warga asing tanpa kelulusan,” menurut kenyataan itu hari ini.

Sebahagian wanita warga asing yang menjadi tukang urut semasa serbuan dilakukan DBKL.

Dalam operasi sama, pihak berkuasa turut melaksanakan lima tindakan sita dan pindah peralatan di premis terbabit.

Antara peralatan yang disita termasuk modem WiFi, kamera litar tertutup (CCTV), monitor, perakam video serta beberapa peralatan lain yang digunakan bagi tujuan operasi premis.

DBKL memaklumkan tindakan diambil mengikut peruntukan Undang-Undang Kecil Pelesenan Tred, Perniagaan dan Perindustrian (WPKL) 2016 serta Akta Kerajaan Tempatan 1976.

Menurut kenyataan itu lagi, operasi bersepadu berkenaan berjalan lancar dengan kerjasama PDRM dan pemantauan akan diteruskan dari semasa ke semasa.

Orang ramai yang mempunyai aduan atau maklum balas boleh menyalurkannya melalui portal aduan DBKL. – Edisi 9

Terkini

AMH desak menteri, timbalan menteri BN letak jawatan

SEMUA menteri dan timbalan menteri dari Barisan Nasional (BN) didesak meletakkan jawatan masing-masing susulan tindakan parti itu yang secara...

Lagi Artikel Berkaitan