KALAU dahulu orang ramai yang lalu pun tak sanggup jeling, kini ruang yang pernah digelar “rumah hantu” bertukar jadi Dapur Digital moden ala kafe hipster.
Transformasi mengejut ini bukan sahaja mencuri perhatian warganet, malah memberi nafas baharu kepada komuniti setempat.
Dengan sokongan Kementerian Kewangan (MOF), Yayasan Hasanah, Jabatan Wilayah Persekutuan (JWP) dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKl), ruang gelap dan usang yang terbiar akhirnya disulap menjadi ‘cloud kitchen’ serba lengkap.
Lebih menarik, projek ini diusahakan bersama Pepper Labs, syarikat pemacu sosial yang sebelum ini terkenal dengan inisiatif memodenkan perniagaan mikro.
“Kami percaya transformasi ruang terbengkalai ini jadi Dapur Digital bukan sekadar kosmetik. Ia tentang membina peluang sebenar untuk komuniti para ibu, belia, dan peniaga kecil yang kini mampu jana pendapatan mencecah ribuan ringgit sebulan,” kata Pepper Labs.
Warganet tak ketinggalan bersuara. Ada yang kagum dengan wajah baharu PPR ini, siap bandingkan macam “hotel butik”.


Namun seperti biasa, akan ada yang skeptikal, risau kalau projek ini sekadar gimik kerajaan untuk raih perhatian.
Soalan yang kerap muncul betulkah semua usahawan diberi peluang sama rata atau bolehkah fasiliti ini dijaga berterusan, atau akan kembali usang bila “viral” reda?
Realitinya setakat ini sudah 15 lokasi Dapur Digital beroperasi sekitar ibu negara, antaranya di Wangsa Sari, Kerinchi, Kampung Limau, Intan Baiduri dan Setapak Raya.
“Usahawan bukan saja guna ruang dapur, tapi turut diberi latihan digital dan pemasaran untuk jual di GrabFood, Foodpanda dan ShopeeFood.
“Malah ada peserta berjaya raih jualan sehingga RM10,000 sebulan hanya dari dapur komuniti ini,” kata kenyataan itu.
Apa pun persepsi, tidak dapat dinafikan projek ini sudah berjaya mengubah imej PPR – daripada kawasan gelap dan kotor, kepada pusat ekonomi komuniti yang moden, bersih dan berdaya saing.
Atau seperti kata Pepper Labs, “Kalau dulu ruang ini mimpi ngeri, sekarang ia jadi tempat lahirnya rezeki.” — Edisi 9

