PEMBINAAN negara digital ASEAN perlu berteraskan kepercayaan, berkembang melalui inovasi dan maju secara bersama, kata Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nei Ching.
Ketika menyampaikan ucaptama sempena Sidang Kemuncak Digital Nation 2025 (Edisi ASEAN) di Kuala Lumpur semalam, beliau berkata, ketiga-tiga teras itu penting bagi menjayakan agenda digital serantau.
Menurut Nie Ching, asas pertama ialah kepercayaan digital, yang menuntut Malaysia memperkukuh tadbir urus data dan keselamatan siber.
“Penggubalan Akta Keselamatan Siber 2024 dan Akta Keselamatan Dalam Talian 2025 serta kempen advokasi keselamatan internet yang telah menjangkau lebih 150,000 rakyat adalah bukti kesungguhan kerajaan,” katanya dalam sidang kemuncak yang julung kali diadakan bersempena Kepengerusian ASEAN 2025.
Acara anjuran Persatuan GSM dengan kerjasama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) itu menghimpunkan para pemimpin kerajaan, pengawal selia, industri dan rakan serantau bagi membincangkan hala tuju masa depan digital ASEAN.

Nie Ching turut menekankan inovasi sebagai enjin ekonomi digital ASEAN, dengan nilai ekonomi digital rantau ini kini mencecah USD300 bilion dan dijangka melebihi USD1 trilion menjelang 2030.
“Di Malaysia, pelaksanaan Geran Digital PMKS Madani, JENDELA dan perluasan rangkaian 5G telah memperkasa komuniti serta perniagaan.
“Manakala liputan 5G negara kini telah mencapai 82.4 peratus kawasan berpenduduk,” jelasnya.
Beliau berkata, teras ketiga ialah kerjasama serantau, di mana Malaysia komited untuk memperkukuh kolaborasi dengan negara jiran, sektor swasta dan rakan antarabangsa.
“Peluasan siri GSMA M360 ke ASEAN pada 2026 adalah antara usaha bersama yang akan menyokong Visi ASEAN 2045 dalam membina komuniti digital yang berdaya tahan, inovatif dan inklusif,” tambahnya. — Edisi 9

